
LIMBANG: Cuaca panas dan kering dipercayai menjadi punca kemunculan seekor ular sawa kopi di bilik air sebuah restoran di sini, pagi semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, sepasukan anggota diketuai Lans Koperal (PA) Rosnani Jahidi segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari PKOD.
Kejadian berlaku sekitar 8.39 pagi apabila kakitangan restoran terkejut melihat reptilia sepanjang satu kaki dan sebesar ibu jari itu menjalar di dalam bilik air dan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang.
“Sebaik tiba, anggota dimaklumkan terdapat seekor ular sawa kopi di dalam bilik air restoran. Ular tersebut berjaya ditangkap menggunakan alat penyepit dalam masa kira-kira 11 minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi tamat dengan selamat.
Oleh Adeng Edrus