Ular sawa batik lima meter ditangkap APM Spaoh

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DITANGKAP… Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter berjaya ditangkap anggota APM dalam kejadian di Kampung Hulu Spaoh, awal pagi tadi. Foto APM Spaoh

SPAOH: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter yang dipercayai cuba membaham ayam di sebuah reban di Kampung Hulu Spaoh, awal pagi tadi, berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas kehadirannya disedari pemilik ternakan.

Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu yang dikenali sebagai Ben pada 2.15 pagi, memaklumkan kehadiran seekor ular besar berhampiran reban ayam miliknya.

Pengadu memaklumkan bahawa beliau terdengar bunyi bising dari arah reban sebelum melakukan pemeriksaan dan mendapati seekor ular sawa batik sedang menghampiri kawasan ternakan berkenaan.

Susulan laporan itu, empat anggota Skuad Bravo APM Spaoh yang diketuai Sarjan Hasla Deli digerakkan ke lokasi bersama peralatan khas bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.

Setibanya di lokasi, pasukan berkenaan melakukan pemeriksaan di sekitar reban sebelum berjaya mengesan ular sawa batik yang dianggarkan sepanjang lima meter itu.

APM memaklumkan reptilia berkenaan berjaya ditangkap menggunakan kaedah menjerut dalam operasi yang berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan membabitkan anggota atau penduduk.

Ular itu kemudian dibawa ke PKOD APM Spaoh untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sehubungan itu, APM Spaoh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan liar, khususnya di kawasan kampung dan berhampiran reban ternakan.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman