DEBAK: Kegusaran sebuah keluarga di Kampung Debak Laut bertukar lega apabila Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.8 meter yang ditemui di atas siling rumah, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.30 malam berhubung kehadiran reptilia berkenaan.
Menurutnya, pengadu bertindak menghubungi APM selepas bimbang akan keselamatan ahli keluarga berikutan ular berkenaan berada di bahagian atas siling rumah.
“Seramai empat anggota APM digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira tiga minit selepas menerima panggilan, iaitu pada 10.35 malam.
“Hasil pemeriksaan dan pencarian, anggota berjaya mengesan ular sawa batik berkenaan sebelum menangkapnya menggunakan peralatan penjerut dan penyepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi berkenaan selesai kira-kira 10.40 malam, iaitu hanya 10 minit selepas pasukan tiba di lokasi.
Tindakan pantas APM bukan sahaja berjaya mengeluarkan reptilia terbabit dari rumah, malah turut memastikan keselamatan penghuni dan ahli keluarga yang berada di lokasi.
Seramai empat anggota terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan peralatan seperti penjerut, penyepit, sarung tangan, topi keselamatan dan kotak ular.
Oleh Adi Safarman





