Ular sawa batik 1.8 meter ditangkap APM di tepi mesin basuh

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Debak berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.8 meter selepas ditemui berada berhampiran mesin basuh sebuah rumah di Kampung Lalang, awal pagi tadi. Foto APM Debak

DEBAK: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.8 meter berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak selepas ditemui berada berhampiran mesin basuh sebuah rumah di Kampung Lalang, awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 1.12 pagi yang memaklumkan kehadiran reptilia berkenaan.

Menurutnya, pengadu memohon bantuan APM selepas bimbang keselamatan ahli keluarganya berikutan kedudukan ular yang berada di tepi mesin basuh.

“Empat anggota skuad Alpha bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Debak (PKOD) sebaik menerima panggilan.

“Setibanya di lokasi pada 1.17 pagi, anggota terus menjalankan pencarian sebelum berjaya menemui ular berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ular sawa batik itu kemudian berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dan menjerut dengan peralatan keselamatan yang sesuai.

Operasi yang melibatkan empat anggota itu selesai pada 1.21 pagi.

APM turut mengingatkan orang awam supaya tidak cuba menangkap atau mendekati ular sekiranya menemui reptilia berbahaya, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Oleh Adi Safarman