
SPAOH: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 14 kaki mengejutkan penduduk di Kampung Hulu Serembang di sini ketika mereka sedang sibuk mengemas halaman rumah pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang orang awam dikenali sebagai Junai pada 11.03 pagi.
Menurut beliau, kejadian itu disedari apabila jiran pengadu melihat kelibat reptilia besar tersebut sedang menjalar di kawasan halaman rumah semasa aktiviti pembersihan dijalankan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni rumah serta penduduk sekitar, sekali gus mendorong permohonan bantuan segera daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Susulan laporan diterima, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh telah menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pejabat operasi.
Pasukan yang terdiri daripada empat anggota diketuai oleh Sarjan Kamarrul Badarudin itu tiba di lokasi pada 11.20 pagi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada di kawasan halaman rumah.
Menurut Mohammad Noor Ini, anggota menggunakan teknik menjerut bagi memastikan reptilia tersebut dapat ditangkap dengan selamat tanpa mencederakan haiwan itu serta tidak membahayakan keselamatan anggota.
Operasi tersebut berjaya apabila ular sawa berkenaan ditangkap sepenuhnya pada 11.45 pagi sebelum dibawa ke PKOD untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, pihak APM menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan liar terutama di kawasan semak dan segera menghubungi talian kecemasan sekiranya berdepan situasi berbahaya.
Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak sendiri dalam situasi melibatkan haiwan berbisa dan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kecemasan.
Oleh Adi Safarman