

BINTANGOR: Penghuni salah sebuah rumah di Jalan Paris Height cemas apabila terlihat seekor ular berada dalam biliknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.48 pagi semalam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, tiga anggota bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haron Jenai bergegas ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, pelapor memaklumkan terdapat seekor ular berada di dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi mencari dan mengesan keberadaan ular telah dimulakan pada 8.51 pagi.
“Komander operasi mengarahkan anggota bomba untuk menangkap ular tersebut menggunakan peralatan penjerut.
“Bagaimanapun, usaha menangkap ular tidak berjaya apabila reptilia itu sempat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum dapat ditangkap.
“Khidmat khas di lokasi selesai sepenuhnya pada 9.11 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek