
SARIKEI: Penghuni salah sebuah rumah di Jalan Drahman Keria terperanjat apabila terlihat seekor ular sawa berada dalam sangkar kucingnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9.45 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Alffian Sahmat bersama dua anggota bomba bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati seekor ular sawa berukuran dua meter panjang berada di dalam sangkar kucing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, ular sawa ditangkap menggunakan alat penjerut ular.
“Ular berjaya ditangkap dalam tempoh lebih kurang 33 minit dan operasi selesai sepenuhnya pada 10.22 pagi.
“Selepas ditangkap, ular sawa dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya.
Oleh Earl Anek