
KUCHING: Acara penghayatan semula ulang tahun ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 kini diangkat ke peringkat negeri, menandakan satu langkah signifikan dalam usaha memartabatkan sejarah perjuangan menentang penjajahan Jepun di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata keputusan untuk mengadakan acara tersebut di Padang Merdeka sebagai satu pencapaian besar dalam meningkatkan kesedaran tentang sejarah negeri ini.
Sebelum ini, acara itu hanya dianjurkan di Bario sejak 2013 sebagai penghormatan kepada Z Force dan pejuang tanah air yang berjuang dalam misi rahsia Operasi Semut.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan supaya acara ini diperluaskan ke peringkat negeri.
”Ini bukan sahaja mengangkat pengiktirafan terhadap perjuangan Z Force, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk memahami lebih dekat peristiwa bersejarah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa acara penghayatan semula Ulang Tahun Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 di padang Merdeka, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata acara ini akan diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperingati Operasi Semut yang menyaksikan lapan komando dari Australia, New Zealand dan British mendarat di pedalaman Borneo untuk mengumpul maklumat dan melatih penduduk tempatan dalam menentang tentera Jepun.
“Kita bukan sahaja mengenang keberanian para pejuang, tetapi juga mengiktiraf bagaimana operasi ini menjadi titik perubahan bagi komuniti setempat yang ketika itu masih hidup dalam dunia yang tertutup.
“Dengan pengiktirafan di peringkat negeri, acara ini dijangka akan menarik lebih banyak penyertaan dan perhatian, sekali gus memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan sejarah yang membentuk Sarawak hari ini,” tambahnya.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Acara tahun ini mencipta sejarah dengan pendaratan empat penerjun dari Pasukan Khas Udara (PASKAU), Pegawai Waran Udara 1 Mohamad Shah Rizal Md Zahid yang membawa bendera Jalur Gemilang, Penolong Ketua Group Seirra PASKAU Kapten Shahrulrizal Sabri yang membawa bendera Australia, Flight Sergeant Ahmad Riduan Nordin membawa Ibu Pertiwi dan Koperal Muhammad Fikri Azizi Faizul yang membawa bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Persembahan istimewa oleh pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikendalikan oleh Leftenan Kolonel Ahmad Syazwan Mohamed, Kapten Fikri dan Kapten Syafik turut mencuri perhatian hadirin dengan aksi penerbangan rendah di ruang udara Padang Merdeka.
Oleh Rynna Sha’erra