KANOWIT: Manifesto kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencapai kejayaan apabila Dewan Rakyat semalam telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan itu adalah bukti perjuangan GPS dalam mempertahan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan juga Undang-Undang Negeri Sarawak.
“Jangan seperti orang lain..minta merdeka..terus nak keluar (dari Malaysia). GPS ikut undang-undang. Jadi, kita beritahu kerajaan pusat supaya pertahankan hak kami (Sarawak) berlandaskan MA63, laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Dulu Pakatan Harapan (PH) kata nak ubah (pinda) undang-undang tetapi dia pinda satu sahaja iaitu Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan (menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung) tetapi perkara Perkara 160 dia (PH) tidak mahu ubah,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Penghulu Seribu, Nanga Tada, petang tadi.
Katanya, pindaan Perkara 160 adalah wajar dilakukan kerana memuatkan definisi Persekutuan yang masih dinyatakan ‘Persekutuan’ itu adalah ‘Persekutuan Tanah Melayu’.
“Mana boleh..1957 kita belum Malaysia. Jadi kita perlu pinda dan masukan M63,” tegasnya.
Katanya, pengalaman pahit sepanjang 22 bulan PH memerintah Putrajaya juga telah memaksa pelbagai strategi tindak balas dirancang bagi menjadikan Sarawak mampu berdikari.
“Antaranya ialah mengenakan cukai jualan negeri (SST) sebanyak 5.0 peratus produk petroleum negeri daripada PETRONAS,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pengenalan cukai jualan ke atas produk petroleum menjadi aliran pendapatan baharu kepada Sarawak sebagai alternatif membiayai dana bagi menyokong program pembangunan di negeri ini.
Pengerusi GPS itu turut berterima kasih kepada penyandang kerusi DUN Ngemah, Alexander Vincent yang telah bersama Kerajaan dahulu.
“Dan kini kita ada calon baharu, memang pemimpin bertukar ganti. Kita dalam GPS bersatu untuk menjadi satu platform yang kuat dan kita mahu Ngemah pun kuat.
“Apabila Ngemah, Machan, Bukit Goram, Pelagus dan lain-lain kuat, GPS akan menjadi kerajaan yang kuat dalam Malaysia yang boleh kita banggakan,” ujarnya.
Dedahnya, semenjak menjadi Ketua Menteri beliau bekerja rapat dengan mendiang Tan Sri James Jemut Masing.
“Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) sampai ke Nanga Mujong ada jambatan masuk kita mahu buat sampai Belaga, impian James Masing belum habis lagi, kita sebagai kawan dan rakan James Masing mesti teruskan impiannya.
“Sebab itu saya minta perpaduan kita kukuh, saya adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak, sebab itu saya tubuhkan URDA kita beri RM1.5 bilion kepada URDA untuk menbangunkan Ulu Rajang.
“Kita berdoa kepada Tuhan, Kawasan Rascom kita akan beri jumlah yang sama untuk pembangunan di kawasan ini. Sudah tentu orang di sini mestilah sebulu dengan kita, senang saja berunding.
“Pemimpin minta pembangunan pertanian dilaksanakan di sini sebab jalan sudah ada, nanti kalau calon GPS DUN Ngemah, Anyi Jana menang kita memanglah akan rancang sebaik-baik di sini dan juga dari sudut pendidikan,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr Zaidi Mahdi, Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN