
KUALA LUMPUR: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mencipta sejarah tersendiri apabila diterima sebagai Ahli Institut Akhbar Malaysia (MPI) secara rasmi, hari ini.
UKAS menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan penyerahan sijil keahlian telah disempurnakan oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee semasa kunjungan hormat UKAS di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya.
Hii menyifatkan kemasukan UKAS sebagai Ahli MPI amat bertepatan, selari dengan matlamatnya untuk memperkasakan warga kerja UKAS dengan kemahiran terkini yang diperlukan dalam industri media.
“MPI memain peranan penting kepada kita dan UKAS mahu melihat bagaimana untuk bekerjasama dengan mereka terutama dalam pembangunan industri media di Sarawak.
“Memang hasrat kita untuk membangunkan kapasiti semua agensi di Sarawak termasuk UKAS.
“Justeru, kita berharap melalui kerjasama ini kita dapat meningkatkan kualiti wartawan kita, untuk membantu memperkasa industri media di Sarawak,” katanya dalam kunjungan tersebut.
Ke arah itu, Hii berkata, pihaknya sedia meneliti tawaran latihan dari pihak MPI untuk memperkasa kakitangan UKAS.
Hii juga mengajak MPI untuk terlibat dengan penganjuran Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 dijadual berlangsung pada 24 hingga 25 Jun depan di Kuching.
Sementara itu, Awang Putrayusrie memberitahu, peranan UKAS akan diperkukuhkan lagi khususnya dalam konteks penyampaian informasi secara berfakta dan telus kepada orang ramai.
Awang Putrayusrie juga menyambut baik kerjasama pihak MPI dan sedia mempertimbangkan tawaran latihan yang disediakan untuk memperkasa kemahiran kakitangan UKAS.
Menyambut baik cadangan kerjasama pada masa sama, Yong, yang memaklumkan UKAS memikul peranan besar sebagai penggerak industri media di Sarawak.
Katanya, UKAS perlu melihat jauh, bukan sebagai penyalur informasi semata-mata, sebaliknya menjadi penanda aras dalam industri media tempatan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, delegasi MPI serta pegawai-pegawai kanan UKAS.
Untuk rekod, MPI adalah sebuah yayasan yang berperanan membantu memperkasa, dan memperhebat pembangunan modal insan wartawan tempatan melalui program-program kewartawanan, selain bertindak sebagai badan utama mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan dalam industri media Malaysia.