KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berhasrat menjadikan Pustaka Negeri Sarawak sebagai rakan strategik dalam pelbagai bidang, khususnya bagi memperkukuh penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan negeri kepada masyarakat.
Hasrat tersebut disuarakan oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, semasa mengetuai delegasi UKAS dalam satu kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, malam tadi.
Menurut Awang Putrayusrie, peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai pusat maklumat dan sumber rujukan utama adalah sangat selari dengan fungsi UKAS dalam menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat.
“Kunjungan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara UKAS dan Pustaka Negeri Sarawak, khususnya dalam menyebarluaskan dasar serta inisiatif kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kedua-dua pihak bekerjasama menganjurkan pelbagai program sempena sambutan Hari Sarawak 2025.
Antara yang dirancang termasuk pameran berkaitan sejarah pengisytiharan Hari Sarawak, inisiatif Premier Sarawak, serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Pameran tersebut dicadangkan diadakan di Pustaka Negeri Sarawak cawangan Kuching, Sibu dan Miri.
Sementara itu, Japri menyambut baik cadangan UKAS dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama memastikan maklumat berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Pertemuan selama hampir dua jam itu turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak berkongsi peranan, pandangan serta idea konstruktif dalam memperkasa perkhidmatan dan penyampaian maklumat kepada rakyat.