
LONDON: United Kingdom (UK) mencatatkan musim bunga paling panas dalam rekod dan paling kering dalam lebih lima dekad, menurut angka awal yang diumumkan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Data daripada Met Office, perkhidmatan meteorologi kebangsaan UK, menunjukkan purata suhu musim bunga kali ini ialah 9.5°Celsius (49.1°F), iaitu 1.4°C lebih tinggi daripada purata klimatologi jangka panjang, menjadikannya musim bunga paling panas sejak rekod bermula pada 1884.
Lapan daripada 10 musim bunga paling panas di UK berlaku dalam tempoh 25 tahun lalu, manakala tiga yang paling panas direkodkan sejak 2017, menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Negara itu turut mengalami musim bunga paling kering dalam lebih 50 tahun, menjadikannya musim bunga keenam paling kering sejak 1836.
Hanya 128.2 milimeter (5 inci) hujan direkodkan sepanjang musim bunga, iaitu 40 peratus di bawah purata jangka panjang, menurut Met Office.
Perairan di sekitar negara itu juga mengalami gelombang haba, dengan suhu permukaan laut mencecah paras tertinggi sepanjang dua bulan terakhir musim bunga – April dan Mei – menurut agensi itu.
Ia memberi amaran bahawa sesetengah kawasan mencatatkan suhu setinggi 4°C lebih panas daripada biasa, mewujudkan keadaan luar biasa di perairan pantai UK.
Saintis Met Office, Emily Carlisle berkata iklim UK terus berubah dan apa yang paling ketara mengenai musim bunga 2025 ialah gabungan rekod kepanasan dan cahaya matahari bersama hujan yang sangat rendah.
“Musim bunga ini menunjukkan sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku dalam corak cuaca kita, dengan keadaan ekstrem termasuk cuaca kering dan cerah yang berpanjangan semakin kerap berlaku,” katanya.
“Data dengan jelas menunjukkan bahawa beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih panas, lebih cerah dan sering lebih kering berbanding purata abad ke-20, walaupun variasi semula jadi masih memainkan peranan dalam cuaca UK,” tambah Carlisle.
— BERNAMA-ANADOLU