BEIJING: Kebimbangan terhadap penutupan berikutan sekatan penularan Covid-19 mencetuskan pembelian panik di Beijing apabila barisan panjang untuk ujian besar-besaran di Beijing, semalam.
China sudah cuba membendung gelombang jangkitan di bandar terbesarnya Shanghai, yang telah hampir keseluruhannya dikunci selama berminggu-minggu dan melaporkan 51 kematian Covid baharu semalam.
Shanghai bergelut untuk menyediakan makanan segar kepada mereka yang terkurung di rumah, sementara pesakit melaporkan masalah untuk mengakses rawatan perubatan bukan Covid-19 dan peningkatan kes di ibu kota mencetuskan kebimbangan terhadap penutupan yang sama.
Daerah paling ramai penduduk di Downtown Beijing, Chaoyang, menempatkan sekitar 3.5 juta orang, mengarahkan ujian besar-besaran mulai semalam untuk penduduk dan mereka yang datang bekerja di sana.
“Jika satu kes ditemui, kawasan ini boleh terjejas,” kata pekerja pejabat Yao Leiming, 25, ketika dia menuju ke tapak ujian di Chaoyang bersama rakan sekerjanya.
Perintah ujian besar-besaran dan amaran situasi Covid-19 di bandar itu mencetuskan pasar raya Beijing dibuka semalaman ketika penduduk bergegas menyimpan bekalan barang keperluan.
Penduduk Beijing, Zhao mengambil beberapa beg barangan runcit termasuk telur dan sayur-sayuran segar dari kedai runcit semalam selepas mendengar tentang perintah ujian besar-besaran.
Lelaki berusia 31 tahun itu berkata, dia mahu memastikan anak kecilnya cukup makan jika keluarga diarah tinggal di rumah.
“Orang dewasa boleh bertahan selama beberapa hari, tetapi ia tidak sama untuk kanak-kanak,” Zhao, yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarga.
Sementara itu, Wang, seorang lagi pelanggan pasar raya, berkata, dia bimbang perkara sama (dikurung) akan berlaku seperti di Shanghai.
“Orang ramai cemas… semua sedang mengambil barang dan kami bimbang barang-barang mungkin habis,” kata penduduk Chaoyang berusia 48 tahun itu.
Ujarnya, keluarganya telah memperoleh makanan yang mencukupi untuk bertahan seminggu.
Sekurang-kurangnya satu kawasan perumahan di Beijing telah ditutup, manakala beberapa studio kecergasan dan gimnasium di ibu negara membatalkan kelas atau ditutup.
Beijing juga mengenakan kawalan ketat ke atas kemasukan ke bandar itu dengan pelancong perlu menjalani ujian Covid -19negatif dalam tempoh 48 jam.
Ibu negara itu telah melaporkan puluhan kes sepanjang minggu lalu termasuk 14 jangkitan baharu semalam, berikutan amaran daripada Pihak Berkuasa Kesihatan bahawa virus itu telah beredar tanpa dikesan selama beberapa hari.
Tetapi, jumlah Beijing kurang berbanding Shanghai yang merekodkan lebih setengah juta kes sejak 1 Mac lalu. -AFP