
SETIAP insan yang lahir ke dunia pasti akan diuji. Bahkan ujian adalah sunnatullah yang tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun, tidak kira darjat, kedudukan atau umur seseorang.
Ia hadir dalam pelbagai bentuk seperti kesusahan hidup, kehilangan orang tersayang, kegagalan dalam pelajaran atau kerjaya dan penyakit.
Sepertimana Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 155: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Jelas bahawa ujian merupakan bentuk ketetapan dari Allah SWT. Ia bukan tanda Allah SWT tidak sayang, tetapi sebaliknya, ia adalah bentuk kasih sayang dan pendidikan daripada-Nya.
Justru melalui ujian, manusia belajar mengenali kelemahan diri, memohon pertolongan kepada Allah SWT serta memperbaiki kehidupan. Dalam banyak keadaan, seseorang akan menjadi lebih kuat, matang dan bersyukur selepas melalui pelbagai fasa ujian.
Rasulullah SAW sendiri, sebagai insan yang paling mulia turut diuji dengan pelbagai dugaan. Antaranya termasuk kehilangan isteri tercinta, Khadijah RA, bapa saudara yang melindungi Baginda, serta penolakan dan penghinaan dari kaumnya sendiri. Namun, Baginda SAW tidak pernah berputus asa atau menjadikan ujian itu sebagai alasan untuk berhenti berdakwah. Bahkan sebaliknya, Baginda SAW terus melangkah dengan keyakinan dan keteguhan hati yang luar biasa. Ujian juga menjadi asbab seseorang dinaikan darjatnya di sisi Allah SWT.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “ Sesungguhnya besarnya pahala adalah setimpal dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Baraangsiapa yang reda, maka dia mendapat keredaan Allah. Barangsiapa yang murka, maka dia mendapat kemurkaan Allah.”
MENGUBAH UJIAN MENJADI PELUANG
Ramai yang menggangap bahawa ujian itu sebagai beban yang menghalang mereka daripada mencapai impian. Namun, jika difahami dengan hati yang terbuka, ujian adalah peluang untuk memperbaiki diri, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Sejarah telah membuktikan bahawa ramai tokoh hebat lahir daripada pelbagai bentuk ujian dan cabaran.
Imam Ahmad bin Hanbal pernah dipenjarakan dan diseksa kerana mempertahankan akidah dalam isu al-Quran. Akan tetapi, dengan kesabaran dan keteguhan prinsipnya, beliau menjadi antara imam mazhab yang dihormati dan dikenang sehingga hari ini.
Ujian yang dihadapinya bukanlah penghalang, tetapi peluang untuk beliau menunjukkan kekuatan iman dan mencipta warisan ilmu yang diguna hingga hari ini.
Pada masa kini, ramai individu yang berjaya dalam bidang masing-masing mengakui bahawa titik tolak kejayaan mereka bermula daripada kegagalan atau ujian yang besar.
Ujian memaksa seseorang keluar dari zon selesa, berfikir secara kreatif dan berusaha lebih gigih. Di sisi rohani, ujian membuka peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ramai yang hanya mengingati Allah SWT ketika susah, dan di situlah bermulanya hubungan yang ikhlas antara hamba dan Pencipta. Malah, ujian juga menjadi asbab doa-doa yang lebih khusyuk, solat yang lebih tertib, serta taubat yang lebih tulus.
Allah SWT berfirman di dalam Surah at-Taghabun ayat 11 yang bermaksud: “Tiada sesuatu musibah pun yang menimpa melainkan dengan izin Allah dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Kewarakan dan ketinggian akhlak Abdur Rahman bin Auf
ABDUR Rahman bin Auf berasal dari Bani Zuhrah iaitu sebuah kabilah yang besar dari kalangan kaum Quraisy. Nama penuh beliau adalah Abdur Rahman bin Auf bin Abdur Auf bin Abu bin Al Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Lu’ay.
Oleh itu, salasilah beliau bertemu dengan Rasulullah pada Kilab bin Murrah. Abdur Rahman bin Auf merupakan seorang yang warak.
Sebagaimana para sahabat Nabi yang lain, beliau memiliki keperibadian yang begitu indah. Inilah manusia-manusia yang dibentuk oleh Nabi SAW.
Bahkan, beliau merupakan antara sahabat yang paling rapat dengan Rasulullah SAW. Beliau memiliki sifat zuhud, tawaduk, ikhlas dan taat pada setiap perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta sangat takutkan Allah SWT.
Abdur Rahman bin Auf juga merupakan seorang insan yang selalu melakukan solat-solat sunat dan membaca al-Quran.
Ibnu al Mubarak meriwayatkan di dalam kitabnya yang bertajuk Az Zuhd, dari Ibrahim bin Abdur Rahman bin Auf berkata, “Abdur Rahman bin Auf selalu melaksanakan solat (sunat) yang panjang sebelum menunaikan solat Zohor. Jika beliau mendengar azan, maka beliau akan mengambil jubahnya dan keluar (untuk menunaikan solat berjemaah)”.
Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sebuah hadis yang menceritakan bahawa Abdullah bin Abbas pernah membacakan al-Quran kepada Abdur Rahman bin Auf semasa zaman pemerintahan Umar al Khattab.
Beliau berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu menggigil sebagaimana Abdur Rahman bin Auf saat dia mendengar bacaan al-Quran”.
Abu Ya’la pula meriwayatkan, dari Abdullah bin Umair berkata, “Jika Abdur Rahman bin Auf memasuki rumahnya maka beliau akan membacakan ayat kursi di setiap sudut rumahnya.”
Pada tahun kesembilan Hijrah, Rasulullah SAW mengutuskan Saidina Abu Bakar untuk memimpin jemaah haji yang pertama.
Rombongan tersebut disertai oleh ramai sahabat yang besar termasuk Abdur Rahman bin Auf.
Pada ketika itu, Abdur Rahman bin Auf telah membawa haiwan korban bersama dengannya. Abdur Rahman bin Auf juga telah melaksanakan haji bersama-sama Rasulullah SAW ketika haji wada’.
Al Waqidi dan muridnya Ibnu Saad telah meriwayatkan dari Ummu Salamah, beliau berkata, “Ketika Rasulullah SAW melaksanakan Haji Wada’, baginda berangkat dengan kesemua isteri baginda. Kami berjaya mengekori Rasulullah SAW di Zul Hulaifah pada waktu malam. Ketika itu, Abdur Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan berada bersama-sama kami.”
Oleh Hanzalah Azman