SKUAD Kuching City FC mengejutkan pasukan serba mantap yang bersaing di Liga Super 2022 Sabah FC 1-0 pada perlawanan persahabatan pra musim di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam semalam.
Gol kemenangan Kuching City diperolehi menerusi penyerang muda, Amir Amri pada minit-minit akhir perlawanan.
Menurut Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim, perlawanan persahabatan pramusim terbabit menjadi medan memilih senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran Kuching City dalam saingan Liga Premier 2022.
“Kita akan menguji kemampuan dan keserasian antara pemain khususnya kepada pemain baharu,” katanya.
Menurut Irfan lagi, Kuching City juga akan mengadakan tiga lagi aksi persahabatan yang akan diadakan lagi pada 13 hingga 20 Februari depan dalam jelajah pramusim kali ini.
“Tiga pasukan Liga Super yang telah dipilih menjadi ‘sparring’ kepada Kuching City dalam jelajah tersebut iaitu pasukan PJ City FC, Negeri Sembilan dan Selangor FC.
“Oleh itu, perlawanan persahabatan yang dirangka itu adalah menjadi kayu pengukur bagi menilai prestasi pemain kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Kuching City, Joseph Kalang Tie menjelaskan kemenangan 1-0 ke atas skuad Datuk Ong Kim Swee semalam merupakan tonik kepada kekuatan pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Premier musim ini.
Namun jelasnya, masih banyak yang perlu diperbaiki dan perjalanan masih lagi panjang dalam persiapan menempuh Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
“Keputusan perlawanan tidak begitu penting kerana objektif utama aksi ini diadakan adalah untuk menguji barisan pemain beraksi di tahap yang lebih tinggi dan mencabar daripada segenap segi, sekali gus memberi peluang kepada barisan jurulatih memperbaiki kelemahan di setiap posisi,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN