KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak memperkenalkan program pengajian Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah iaitu yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini.
Menteri Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program diploma tersebut adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia bagi mengiktiraf kerjaya mutawwif di peringkat pendidikan negara.
“Modul yang dihasilkan adalah fokus kepada kualiti dan keperluan khusus dari industri umrah dan pelancongan Islam di Malaysia serta berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf dengan penekanan kepada komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan dalaman industri.
“Antaranya aspek pelancongan, pemasaran, pengurusan perniagaan dan pembangunan sahsiah diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Sarawak dan Professional Mutawwif Development Sdn Bhd bertempat di Kampus Samarahan 2, UiTM Cawangan Sarawak, di sini, semalam.
Menurut Abdul Karim, Professional Mutawwif Development berperanan penuh sebagai pelaksana program ini yang akan didaftarkan di bawah salah satu program Technical and Vocational Education and Training (TVET) UiTM Cawangan Sarawak.
“Saya percaya dengan penyediaan yang mantap sebegini mampu melahirkan seorang individu menjadi seorang mutawwif professional yang mampu membimbing jemaah serta pelancong ke serta dunia berdasarkan panduan pelancongan Islam.
“Kita berharap agar satu hari nanti graduan yang lahir dari program ini akan direbut oleh banyak agensi pelancongan tidak hanya di Malaysia malah seluruh dunia.
“Usaha ini bagi mendokong saranan kerajaan dalam memperkasakan program TVET dengan harapan program ini akan menjadi salah satu pilihan utama pelajar semasa memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi nanti,” katanya lagi.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Dato Dr Jamil Hamali, Pengarah Urusan Professional Mutawwif Development Ustaz Abd. Halim Ikhsan, Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sarawak Rosyudah Tahir dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Sarawak Majerji Li.
Oleh Zarina Abdullah