
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Natpro Biotech Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang bioteknologi, pembangunan produk semula jadi dan inovasi berasaskan komuniti.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Kampus UiTM Samarahan 2 itu turut mencerminkan komitmen bersama ke arah perubahan berimpak melalui jalinan akademia dan industri.
Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah menyatakan rasa bangga dengan kerjasama itu, lebih-lebih lagi apabila Pengarah Natpro Biotech Sdn Bhd, Syed Mohammad Asri merupakan alumni UiTM Sarawak.
“Saya berasa bangga apabila graduan kita kembali bukan sekadar memberi dorongan malah menjalin kerjasama sebenar yang memperkasa penyelidikan, inovasi dan impak kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kerjasama ini meliputi penyelidikan bersama, pembangunan produk, latihan industri, penubuhan pusat kecemerlangan serta projek komuniti dan pemindahan ilmu, seiring aspirasi UiTM menjadi universiti bertaraf global.
Natpro Biotech, syarikat berpengkalan di Sarawak dikenali dengan kepakaran menukar biojisim dan bahan semula jadi kepada produk bernilai tinggi melalui pendekatan kelestarian seperti inisiatif sisa kepada kekayaan yang menghasilkan makanan haiwan dan tenaga boleh diperbaharui daripada sisa industri dan organik.
Melalui kerjasama ini, UiTM Sarawak berhasrat memperluas pendedahan dunia sebenar kepada penyelidik, pensyarah dan pelajar dengan menghubungkan ilmu akademik kepada keperluan industri.
“Kami percaya kolaborasi ini akan membuka ruang baharu untuk penyelidikan gunaan dan inovasi, serta menyumbang kepada agenda bioekonomi dan kelestarian negara,” tambahnya.
Turut hadir, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Sarawak, Profesor Dr Juferi Idris, Pengarah Urusan Natpro Biotech Sdn Bhd, Syed Ahmad Tarmizi Wan Yusop dan Pengarah Bukan Eksekutif, Wan Ibrahim Wan Omar.