NUR AIN OTSMAN
KOTA SAMARAHAN: Penularan wabak Covid-19 ini telah menyaksikan keperluan serta permintaan terhadap bahan asas seperti topeng muka dan hand sanitizer makin meruncing.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak tidak ketinggalan untuk menyumbang kepada usaha menghasilkan hand sanitizer keluaran sendiri dengan menggunakan kepakaran di kalangan staf Pusat Pengajian Sains Gunaan UiTM Kampus Samarahan 2 dan fasiliti yang sedia ada bagi menampung keperluan di hospital-hospital tempatan.
Sekumpulan pakar dari Pusat Pengajian Sains Gunaan, UiTMCS diketuai oleh Dr. Ahmad Lutfi Anis telah menghasilkan hand sanitizer sebanyak 50,000 ml yang dibotolkan untuk diagihkan kepada hospital yang memerlukan di sekitar Kuching dan Samarahan.
Proses penghasilan hand sanitizer tersebut telah dimulakan Jumaat lepas dengan pemesanan dan pengumpulan bahan-bahan kimia serta perkakas yang diperlukan.
Kerja pemprosesan yang dijalankan di Makmal Kimia Kampus Samarahan 2 dan selenggarakan oleh dua (2) pensyarah bidang kimia iaitu Dr. Cindy Tan dan Dr. Vivien Jong, dibantu oleh En. Ho Boon Heong, Cik Siti Hajijah, Pn Edah Kassim, dan Pn. Fathymah Tukijo.
Produk yang dihasilkan adalah mengikut formulasi yang disyorkan oleh World Health Organization (WHO).
Sebanyak lebih 200 botol hand sanitizer dengan isipadu 100 ml, 150 ml, dan 500 ml telah dihasilkan.
Penyerahan bahan-bahan tersebut telah dibuat oleh wakil Rektor UiTM Cawangan Sarawak, ASP Mazlan Takap dan Dr Kamaruddin Jeraie kepada beberapa pusat yang memerlukan seperti Pusat Kuarantin INTAN yang diwakili oleh Dr Godwinna Chong.
Pusat Kuarantin Infra yang diwakili oleh Komander Pusat, Dr Kalaivance dan Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Lee Chong Chern.