KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama pusat beli-belah the Spring akan menganjurkan Karnival STEAM Kids di The Spring di Aras 2 dari 18 hingga 21 September ini.
UiTM Cawangan Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu program itu dilaksanakan untuk mencetuskan imaginasi minda muda melalui aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik (STEAM).
Selain itu, untuk mempromosikan kreativiti, pembelajaran, dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
”Karnival selama empat hari ini menawarkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur, memberi peluang unik kepada peserta untuk terlibat dengan konsep STEAM secara interaktif dan menyeronokkan.
”Acara ini akan menampilkan Pertandingan Mewarna Little Scientist (terbuka kepada 90 peserta) yang mana artis muda boleh meneroka keajaiban sains melalui kreativiti warna-warni.
”Selain itu, Pertandingan Ejaan (Spelling Bee) akan menguji kebolehan peserta dalam dua kumpulan umur iaitu tujuh hingga sembilan tahun dan 10 hingga 12 tahun dengan 20 peserta setiap kumpulan yang berpeluang meningkatkan kemahiran bahasa dan kosa kata mereka,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, katanya, bagi mereka yang berbakat dalam penceritaan, Pertandingan Bercerita (Story-telling) akan memberi peluang kepada para peserta muda dan dibahagikan kepada dua kumpulan umur, untuk mempamerkan kreativiti dan kemahiran berucap mereka di hadapan umum.
Selaras dengan tema kelestarian, Pertandingan Rumah Kucing DIY – Paws & Boxes mengundang para keluarga untuk mereka bentuk dan mencipta rumah kucing unik daripada bahan kitar semula, sambil menggalakkan kesedaran alam sekitar secara inovatif dan menyeronokkan.
Selain itu, Ceramah Kesedaran Kelestarian turut dianjurkan bagi membincangkan kelestarian dari pelbagai perspektif, memberi inspirasi kepada peserta cilik untuk mempertimbangkan bagaimana STEAM boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.
Beberapa pameran dana sesi demonstrasi yang menarik yang akan diadakan turut menyediakan pengalaman interaktif dan praktikal dalam pelbagai projek sains dan teknologi.
”STEAM Kids Carnival adalah sebahagian daripada komitmen UiTM Cawangan Sarawak untuk memupuk kecintaan terhadap pembelajaran, inovasi, dan kreativiti dalam kalangan pelajar muda.
”Ia bertujuan untuk mewujudkan platform untuk kanak-kanak agar dapat meneroka potensi mereka sambil mempromosikan gaya hidup lestari melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang the Spring https://thespring.online/workshops/STEAMKIDSCARNIVAL.