
KUCHING: Usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2021–2025, terus diperkukuh menerusi penganjuran Creative Arts & Social Science International Conference (CASSIC 2025) anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka di sini, hari ini.
Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, menekankan kepentingan penyelidikan rentas disiplin dalam mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa menerusi bidang pendidikan.
“CASSIC 2025 menjadi medan intelektual yang menyatukan bidang seni kreatif dan sains sosial dalam menangani isu-isu semasa seperti kelestarian, keterangkuman sosial dan pembangunan ekonomi digital, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian CASSIC 2025 di Waterfront Hotel, Kuching.
Beliau turut menyatakan bahawa persidangan ini bukan sekadar platform akademik, sebaliknya ruang strategik untuk membina jaringan antara penyelidik, pihak industri, pembuat dasar dan komuniti global.
“Ini adalah bukti nyata komitmen UiTM Melaka dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem penyelidikan antarabangsa,” tambah beliau.
Profesor Mohd Rasdi juga menegaskan keperluan pendekatan holistik dalam penyelidikan yang menggabungkan elemen kreatif dan sosial bagi membentuk dasar negara yang lebih inklusif serta melahirkan graduan yang bersifat global, beretika dan berfikiran kritis.
“Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada STEM sahaja. Penyelidikan berasaskan kemanusiaan, budaya dan ekspresi seni perlu diberi ruang yang sewajarnya dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya cipta.”
Beliau turut menyatakan bahawa CASSIC 2025 adalah kesinambungan daripada beberapa siri program terdahulu seperti ISME, Tunas Ilham, DERIA, LIAC dan IBAEX, yang telah menyumbang kepada pembudayaan penyelidikan di UiTM Melaka sejak lebih sedekad lalu.
“Saya berharap CASSIC 2025 menjadi medan menyemai kerjasama akademik dan penyelidikan rentas sempadan yang akan terus mekar dan memberi impak positif kepada masyarakat global,” jelasnya.
Persidangan dua hari yang bertemakan “Empowering Sustainability Through Creativity, Innovation & Digitalization for Societal Well-being and Economic Growth” ini dianjurkan oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Melaka dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Sarawak.
Sebanyak 136 kertas kerja dijadualkan untuk dibentangkan oleh para penyelidik dari dalam dan luar negara, meliputi pelbagai bidang seperti seni persembahan, media digital, dasar awam, diplomasi budaya dan pemuliharaan warisan.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Timbalan Rektor UiTM Kampus Bandaraya Melaka Dr. Mohd Halim Mahphoth, Ketua Pegawai Eksekutif Islah Vision Sdn. Bhd. Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta beberapa tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah