KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak melancarkan dua pusat penyelidikan untuk Produk Halal dan Penyelidikan Herba dan Etnomedikal.
Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Global Pertama Mengenai Imunologi Viral dan Terapi Antivirus Covid-19 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Samarahan, semalam.
Pusat Penyelidikan Produk Halal adalah kerjasama antara UITM Sarawak, Universiti Beijing Wuzi dan Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Asia China (ACEC), sementara Pusat Penyelidikan Herba dan Etnomedikal adalah kerjasama antara UITM Sarawak, Universiti Perubatan Anhui China dan ACEC.
Naib Canselor UiTM, Emeritus Prof Datuk Dr Mohd Azraai Kassim menekankan bahawa dalam menghadapi krisis Covid-19 yang tidak mengenal sempadan, adalah penting universiti terus terlibat dan bekerjasama dengan universiti dan industri antarabangsa.
“Kerjasama dengan universiti yang sudah mapan, kita dapat belajar dengan lebih cepat dan juga menjalin pakatan yang dalam menghadapi krisis masa depan, akan memungkinkan untuk melakukan tindakan dengan cara yang terkoordinasi dan lebih efisien, terutama dalam berkongsi sumber dan penyelesaian teknologi,” katanya.
Untuk persidangan edisi khas tahun ini, beliau turut menekankan perlunya mewujudkan jaringan yang lebih kuat dengan nilai luar biasa kerana dunia menantikan inovasi terkini dalam perkembangan sains dan teknologi yang dapat membantu semua manusia menghadapi cabaran pasca Covid-19 dengan mudah dan yakin.
“Adalah besar harapan kami bahawa persidangan hibrid secara khusus akan mempercepat penyelidikan dalam mencari vaksin dan ubat yang sesuai,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu bahawa, UITM selalu menjadi penyokong semangat rancangan kerajaan untuk memanfaatkan peluang untuk membawa nilai yang lebih besar kepada pelbagai komuniti baik dari segi ekonomi dan sosial.
Oleh NUR AIN OTSMAN