AKTIVITI PERTANIAN… Dr Roziah melakukan simbolik pelepasan anak ikan ke dalam kolam di pusat Akua
dan Agrotek UiTM Cawangan Mukah.
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA UiTM Sarawak Kampus Mukah(UiTM Mukah) bermula beroperasi pada Sesi Disember 2002 dengan menjalankan program Pra-Perdagangan(PD0030)
Pada peringkat awal, UiTM hanya menyewa rumah kedai untuk menempatkan asrama pelajar, bilik pejabat, bilik kuliah dan perpustakaan.
Namun kini ia sudah beroperasi di kampus kekal sendiri yang terletak kira-kira 7.5 kilometer daripada pusat Bandar Mukah.
Universiti Awam pertama di Wilayah Tengah Sarawak ini terus berkembang dari semasa ke semasa dan senario itu telah menarik perhatian Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Teknologis (Ts.) Dr Roziah Mohd Janor.
Justeru beliau meletakkan impian untuk menjadikan UiTM Mukah sebagai pusat penyelidikan terkemuka di kawasan ini dan peringkat antarabangsa pada suatu hari nanti.
Dr Roziah menyatakan bahawa pusat pengajian yang berada di luar bandar itu mempunyai banyak persamaan dengan Santa Fe Institute di New Mexico, Amerika Syarikat.
Idea beliau untuk menjadikan UiTM Kampus Mukah sebagai pusat penyelidikan terkemuka adalah rentetan daripada pengalamannya semasa berada di Santa Fe Institute dahulu.
“Lokasi UiTM Kampus Mukah yang terletak di zon tengah wilayah Sarawak mungkin bagi sesetengah orang agak jauh dan terpencil. Ia boleh menjadi sebagai pusat penyelidikan terkemuka kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan Santa Fe Institute, New Mexico, Amerika Syarikat seperti kedudukannya yang agak terpencil tetapi telah berjaya menduduki 24 teratas “Badan Pemikir Sains dan Teknologi” di dunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program “Berloyar Dengan VC” yang dianjurkan sempena lawatan sulungnya ke UiTM Mukah baru-baru ini
Harapan Dr Roziah adalah untuk melihat UiTM sebagai pusat penyelidikan dan kecemerlangan yang bakal menerima kunjungan penyelidik-penyelidik bukan sahaja dari dalam negara malah turut membuka peluang kepada kolaborasi penyelidikan bersama para penyelidik peringkat antarabangsa.
“Antaranya potensi ke arah itu ialah dalam bidang industri farmaseutikal berasaskan tumbuhan herba di Sarawak dan juga kajian dan penyelidikan berkaitan komputer yang melibatkan Internet of Things (IoT) serta artificial intelligent (AI) yang boleh digunakan dengan meluasnya di dalam sektor pertanian pintar dan yang seumpamanya,” tambah VC lagi.
Dalam sesi tersebut, beliau juga memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada warga UiTM Mukah supaya ia akan lebih menyerlah lagi di masa akan datang selaras dengan pelan strategik UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025 atau Globally Renowned University 2025 (GRU 2025).
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof. Dato Dr. Jamil Hamali, dalam taklimatnya menyatakan UiTM Mukah menawarkan lima program di peringkat diploma.
“Program tersebut terdiri daripada Diploma Pengurusan Ladang, Diploma Pengeluaran Herba, Diploma Akuakultur, Diploma Pengjian Perniagaan dan Diploma Pengajian Perbankan,” kata beliau.
Di samping program di peringkat diploma, tambahnya, ia juga turut menawarkan program di peringkat pra-diploma iaitu Pra-Diploma Perdagangan dan Pra-Diploma Sains, Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C & Sastera), Pra-Diploma Agroteknologi dan satu program baharu iaitu Pra-Diploma Pengajian Islam.
“Dalam masa yang sama, UiTM Mukah juga turut menjalin kerjasama dengan pihak Professional Mutawwif Development International College (PMIDIC) iaitu program Diploma Kemahiran Mutawwif Umrah dan Ziarah.
Dalam sesi taklimat dan pembentangan tersebut juga, Dr Jamil turut menyentuh tentang 20 Perkara di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya dalam Perkara 15 iaitu melibatkan autonomi dalam pendidikan.
Program yang berlangsung secara santai dan bersahaja berkenaan menyaksikan interaksi pelajar dan staf akademik yang membincangkan beberapa perkara dan perkongsian tentang idea untuk meningkatkan lagi visibilitiUiTM Kampus Mukah sebagai satu-satunya universiti awam di zon tengah wilayah Sarawak.
Lawatan julung kali VC ke UiTM Mukah ini sungguh bermakna kerana beliau merupakan Naib Canselor wanita pertama yang pernah dilantik menyandang jawatan tersebut sejak 65 tahun institusi ini diwujudkan.
Oleh HENRY B SIYU