Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Ugutan jenayah berat taktik baharu sindiket pinjaman haram
  • TEMPATAN

Ugutan jenayah berat taktik baharu sindiket pinjaman haram

Utusan Sarawak 6 hours ago
PUPUK KESEDARAN…Lau (duduk tengah) bersama ahli-ahlinya ketika sidang media berkenaan sindiket pinjaman wang dalam talian haram yang membabitkan kerugian jutaan ringgit di Sibu, hari ini.

SIBU: Sindiket pinjaman wang dalam talian haram kini dikesan semakin agresif apabila menggunakan ugutan jenayah berat, termasuk ancaman mencederakan ahli keluarga dan penculikan bagi menekan mangsa.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak, Lucas Lau berkata, perkara itu terbongkar menerusi satu kes membabitkan seorang peniaga tempatan yang terperangkap dengan sindiket berkenaan sejak Januari lalu.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan lebih 70 individu melalui aplikasi WhatsApp sebelum menyedari sejumlah wang kira-kira RM700,000 telah dimasukkan ke dalam akaunnya tanpa persetujuan.

“Modus operandi ini semakin licik apabila sindiket memasukkan wang tanpa permintaan, kemudian memaksa mangsa membuat bayaran semula dengan kadar faedah melampau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah membayar sehingga RM1.2 juta, namun masih dituntut baki hutang yang meningkat kepada sekitar RM1.5 juta.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila mangsa menerima ugutan pada 10 April lalu, termasuk ancaman terhadap keselamatan keluarga serta kemungkinan anaknya diculik sekiranya gagal menjelaskan bayaran.

“Ini bukan lagi isu kewangan semata-mata, sebaliknya sudah melibatkan ancaman jenayah yang serius,” tegasnya.

Dalam pada itu, mangsa yang tertekan telah mendapatkan bantuan MTPN Sarawak sebelum dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis.

Menurut Lau, keadaan turut menjadi lebih rumit apabila dua lelaki dipercayai dari Semenanjung tampil menawarkan bantuan menyelesaikan masalah tersebut, namun dengan syarat mangsa perlu menyerahkan hak milik hartanah.

Hasil kerjasama mangsa dengan pihak polis, kedua-dua suspek berjaya ditahan pada 11 April lalu di sebuah restoran di sini ketika pertemuan susulan diadakan.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, kad ATM, wang tunai dan sebuah komputer riba yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Lau memaklumkan pihaknya menerima aduan berkaitan kes seumpama itu hampir setiap hari, sekali gus mencerminkan peningkatan yang membimbangkan.

“Kami tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman mudah, khususnya yang tidak berlesen,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sindiket tersebut.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Krisis tenaga global dijangka perlahankan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya
Next: Wanita tonggak pembangunan negeri dan negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.