
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan Perutusan Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 dengan menggesa seluruh rakyat, khususnya penganut Kristian, agar terus memperkukuh perpaduan serta menyokong kepimpinan Premier Sarawak demi memastikan negeri ini kekal makmur, aman dan bersatu.
Dalam perutusannya, Uggah mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian serta selamat bercuti kepada seluruh rakyat, sambil berharap musim perayaan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam kepelbagaian masyarakat Sarawak.
Beliau menegaskan Krismas merupakan masa terbaik untuk menyemai nilai kasih sayang, toleransi dan saling menghormati, selari dengan semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian Sarawak sejak sekian lama.
Menyentuh hal pembangunan negeri, Uggah berkata Belanjawan Sarawak 2026 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak pada 24 November lalu merupakan bajet yang menyeluruh dan berteraskan janji untuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, sebanyak RM9.3 bilion diperuntukkan bagi inisiatif pembangunan, dengan RM6.1 bilion atau 66 peratus disalurkan khusus untuk pembangunan luar bandar, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terus memihak kepada rakyat luar bandar.
Uggah turut merakamkan penghargaan atas peruntukan RM120 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi 2026. Sehingga 2025, UNIFOR telah menerima keseluruhan peruntukan RM475 juta bagi membantu rumah-rumah ibadat, mencerminkan sokongan berterusan kerajaan GPS terhadap semua institusi keagamaan.
Beliau juga menyambut baik keputusan kerajaan negeri melaksanakan pendidikan tertiari percuma kepada anak Sarawak yang mengikuti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di universiti milik Sarawak termasuk Universiti Curtin; Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Kolej I-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak.
Dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan, katanya, sebanyak RM665 juta diperuntukkan bagi program pendidikan pada 2026, selaras dengan kepercayaan bahawa rakyat merupakan aset terbesar negeri dalam memastikan tenaga kerja masa depan kekal berdaya saing.
Uggah turut menjelaskan kerajaan GPS prihatin terhadap kos sara hidup rakyat dengan memperuntukkan RM640 juta bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Bantuan itu ditingkatkan kepada RM950 bagi setiap keluarga, RM500 untuk warga emas dan RM300 bagi individu bujang.
Beliau menegaskan kejayaan Sarawak diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2022 adalah hasil kepimpinan berwawasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang disifatkan sebagai pemimpin untuk semua kaum dan agama.
Sehubungan itu, Uggah menyeru penganut Kristian dan seluruh rakyat Sarawak agar terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan Premier bagi memastikan Sarawak terus maju, aman dan harmoni sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Mengakhiri perutusan, beliau mengucapkan Selamat Hari Krismas yang penuh berkat kepada komuniti Kristian serta menyampaikan harapan agar 2026 disambut dengan kesihatan, kemakmuran dan perpaduan demi membina masa depan Sarawak yang lebih cerah untuk semua.
Oleh Adi Safarman