
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini turun padang meninjau persiapan akhir menjelang Majlis Perasmian Jambatan Sungai Bintangor yang dijadual berlangsung pada 5 Ogos ini.
Uggah, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata lawatan tapak itu bertujuan meneliti tahap kesiapsiagaan dari segi logistik dan teknikal bagi memastikan kelancaran majlis perasmian.
Majlis perasmian tersebut dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak dan bakal menarik kehadiran penduduk setempat yang selama ini bergantung kepada pengangkutan air untuk menyeberangi Sungai Bintangor.
Projek jambatan ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar serta meningkatkan mobiliti penduduk di kawasan berkenaan.
Turut mengiringi beliau, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan Petros), Ibrahim Baki serta beberapa pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan wakil kontraktor yang terlibat dalam pembinaan jambatan berkenaan.
Oleh Amanda L.