Uggah tinjau kemajuan projek Jalan Medong–Klid, siap awal 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Jalan Kampung Medong–Lebrasau–Kampung Klid di Daerah Dalat, Bahagian Mukah. Foto Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak

DALAT: Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Jalan Kampung Medong–Lebrasau–Kampung Klid di Daerah Dalat, Bahagian Mukah.

Lawatan tersebut turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris, yang turut memberikan taklimat mengenai status pelaksanaan projek kepada Timbalan Premier dan delegasi yang hadir.

Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 11.5 kilometer, jalan cabang sepanjang 0.17 kilometer serta tiga buah jambatan yang bakal menghubungkan Daerah Dalat dengan Kampung Klid, Kampung Plajau serta Sekolah Kebangsaan Klid/Plajau, merentasi Batang Oya.

Buat masa ini, penduduk Kampung Klid dan Kampung Plajau masih bergantung kepada pengangkutan air untuk ke Pekan Dalat, dengan menggunakan bot laju dari penghujung Jalan Dalat–Lebrasau berdekatan kawasan pengambilan air Dalat/Lebrasau, yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Setakat ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 48.56 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Januari 2026.

Dalam lawatan tersebut, Uggah mengarahkan pihak kontraktor agar melipatgandakan usaha dan memastikan penyelarasan antara pihak berkepentingan dapat berjalan lancar bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Hanifah Hajar Taib, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, serta Timbalan-Timbalan Pengarah JKR Sarawak.

Bina integriti dari rumah, perkukuh di sekolah

KUCHING: Pembudayaan integriti perlu bermula dari rumah sebelum diperkukuh melalui pendidikan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat, kata Premier Sarawak,