

TURUN PADANG… Uggah dan bersama rombongan ketika meninjau keadaan Jambatan Long San, merupakan laluan penting penduduk Baram untuk menyeberangi Sungai Baram. Foto UKAS
BARAM: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam telah menamatkan Ekspedisi Bario selepas menempuh perjalanan darat sejauh 256 kilometer (km) dari Miri ke kawasan pedalaman Baram.
Beliau bersama delegasi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bermalam di Homestay Segah Selaan di sini sebagai simbol komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk turun padang dan menilai secara langsung keadaan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Ekspedisi ini memberi fokus terhadap penilaian laluan bekas jalan balak dan jalan balak aktif yang menjadi nadi perhubungan kepada komuniti pedalaman.
Menurut beliau, satu pendekatan baharu bagi penyelenggaraan jalan luar bandar akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini dengan tumpuan kepada aspek keselamatan dan kebolehgunaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Jambatan Sungai Sengayan yang runtuh akan dibina semula, manakala Jambatan Long San pula akan dibaik pulih dalam masa terdekat.
Sebanyak 27 jambatan lain di kawasan Baram turut dikenal pasti untuk kerja penyelenggaraan.
Terdahulu, turut diadakan sesi libat urus bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi mendapatkan maklum balas terus daripada komuniti mengenai keperluan infrastruktur serta kebajikan setempat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pegawai JKR Sarawak yang menyertai ekspedisi tersebut dan sanggup menempuh laluan mencabar demi memastikan penilaian infrastruktur dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Ekspedisi tersebut akan diteruskan esok ke Bario, dengan tinjauan sambungan jalan serta sesi dialog bersama penduduk tempatan.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta Pengarah JKR Sarawak, Dr. Cassidy Morris.
Oleh Adum Liu