Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Uggah perkasa pendidikan luar bandar, umum peruntukan RM1.5 juta naik taraf SK Saint John Nanga Tiga
  • PENDIDIKAN

Uggah perkasa pendidikan luar bandar, umum peruntukan RM1.5 juta naik taraf SK Saint John Nanga Tiga

Utusan Sarawak 14 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas merasmikan program Kembali ke Sekolah yang berlangsung di Dewan Sadok SK Saint John Nanga Tiga, hari ini. Foto DUN Bukit Saban

BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan luar bandar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerusi penganjuran program Kembali ke Sekolah.

Program yang berlangsung di Dewan Sadok, Sekolah Kebangsaan (SK) Saint John Nanga Tiga itu memberi tumpuan kepada murid prasekolah dan sekolah rendah dengan matlamat meringankan beban kewangan keluarga menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Melalui program berkenaan, bantuan persekolahan diagihkan kepada murid sebagai usaha memastikan mereka memulakan sesi akademik dalam keadaan lebih selesa dan bersemangat, selaras dengan aspirasi meningkatkan kualiti pendidikan luar bandar.

Seramai 914 murid prasekolah dan sekolah rendah menerima manfaat daripada program itu melibatkan tujuh sekolah di DUN Bukit Saban iaitu SK Nanga Gayau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Spaoh, SK Saint John Nanga Tiga, SK Penom, SK Spaoh, SK Suri dan SK Paku Central.

Uggah yang juga Ahli Dewaj Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai teras utama pembangunan negeri dan penentu masa depan generasi muda.

 DATUK Amar Douglas Uggah Embas merasmikan program Kembali ke Sekolah yang berlangsung di Dewan Sadok SK Saint John Nanga Tiga, hari ini. Foto DUN Bukit Saban

Beliau turut menggesa ibu bapa dan guru agar terus berganding bahu dalam membimbing serta memotivasikan murid luar bandar supaya mampu mencapai kecemerlangan setanding pelajar di kawasan bandar.

“Kita mahu anak-anak di kawasan luar bandar seperti Bukit Saban berjaya dalam pelajaran dan seterusnya layak melanjutkan pengajian melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES),” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan RM1.3 juta bagi pembinaan semula asrama dan RM200,000 untuk pembinaan semula kuarters guru di SK Saint John Nanga Tiga bagi meningkatkan kemudahan serta kebajikan warga sekolah.

Selain itu, setiap tujuh sekolah terlibat menerima peruntukan RM10,000 bagi pembelian bahan bacaan, manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Saint John Nanga Tiga menerima RM30,000 dan PIBG enam sekolah lain masing-masing menerima RM20,000, selain pemberian tiga papan pintar kepada setiap sekolah.

Program berkenaan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong, Guru Besar SK Saint John Nanga Tiga, Entinggi Migat, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Emparie Tom, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng serta pemimpin masyarakat, wakil PIBG, ibu bapa dan guru-guru sekolah terlibat.

Oleh Adi Safarman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sistem solar hibrid beri bekalan elektrik 24 jam, mudahkan pembelajaran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.