
PETRA JAYA: Semangat muhibah dan iltizam memperkukuh keharmonian antara agama terus dizahirkan dalam satu kunjungan hormat oleh Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau bersama pegawai-pegawai kanan unit tersebut ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Kunjungan rasmi ini bertujuan membentangkan perkembangan semasa permohonan projek rumah ibadat dan sekolah mubaligh di Sarawak, di samping mengemukakan beberapa isu penting yang memerlukan perhatian segera daripada kepimpinan negeri.
Dalam pertemuan itu, Uggah menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan UNIFOR yang disifatkan sebagai tiang seri kepada perpaduan berteraskan kepelbagaian agama di Sarawak.
“UNIFOR memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga sensitiviti dan keperluan semua komuniti. Kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif ini demi kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Uggah turut menyatakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasakan infrastruktur rumah ibadat serta sekolah mubaligh sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan inklusif negeri.
Kunjungan hormat ini menjadi simbol kepada keutuhan pendekatan pentadbiran Sarawak yang sentiasa mengangkat nilai toleransi dan keterangkuman dalam masyarakat berbilang agama.
Sejak penubuhannya, UNIFOR semakin mendapat pengiktirafan sebagai badan pemangkin perpaduan, khususnya dalam menguruskan keperluan komuniti bukan Islam termasuk hal ehwal rumah ibadat dan sekolah mubaligh yang berperanan besar dalam pembinaan sahsiah generasi akan datang.
Usaha ini juga sejajar dengan dasar kerajaan Sarawak yang menekankan pembangunan seimbang serta menghormati kepelbagaian sebagai aset kekuatan negeri.
Oleh Adi Safarman