
PETRA JAYA: Lawatan kerja Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Bilik Gerakan Banjir Negeri disifatkan sebagai satu penghormatan besar serta manifestasi keprihatinan kepimpinan tertinggi negeri terhadap situasi banjir yang sedang melanda Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lawatan tersebut amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama Tun Wan Junaidi hadir ke bilik operasi berkenaan sepanjang beliau memegang amanah sebagai Pengerusi JPBNS.
Menurutnya, kehadiran Tun Wan Junaidi mendapatkan taklimat secara langsung mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap cabaran yang dihadapi rakyat Sarawak khususnya ketika musim banjir.
“Kami amat bertuah kerana walaupun saya telah beberapa tahun menjawat jawatan ini, inilah kali pertama Tun Wan Junaidi datang melawat dan meminta taklimat secara langsung di bilik operasi kami.
“Bagi pihak rakyat Sarawak, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keperhatian Tun Wan Junaidi terhadap situasi banjir yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah semasa mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Banjir Negeri di Wisma Bapa Malaysia, petang tadi.
Lawatan yang bermula pada 4.30 petang itu bertujuan meninjau secara dekat pengoperasian bilik gerakan serta mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan banjir di beberapa bahagian di Sarawak.

Sejurus ketibaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah diberikan taklimat menyeluruh mengenai situasi semasa banjir, termasuk jumlah mangsa terjejas yang mencecah 3,019 orang melibatkan 13 daerah, dengan sebanyak 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri.
Dalam lawatan tersebut, Tun Wan Junaidi turut menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan mangsa banjir serta menekankan keperluan pelan mitigasi banjir yang lebih menyeluruh, berkesan dan strategik, bukan sahaja bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), malah sebagai langkah jangka panjang untuk Sarawak.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut Uggah bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak merangkap Ketua Sekretariat JPBN, Abdul Wahab Abdul Rahim.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan serta agensi terlibat yang bertungkus-lumus melaksanakan operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan, sambil menegaskan bahawa kesejahteraan dan keselamatan rakyat kekal sebagai keutamaan utama kerajaan negeri.
Oleh Adi Safarman