Uggah hargai komitmen semua pihak jayakan Konvensyen Khas PBB Zon Betong

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas

BETONG: Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, petugas, sukarelawan dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Betong yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran konvensyen itu membuktikan semangat kerjasama dan komitmen tinggi seluruh warga parti dalam memastikan program berprestij berkenaan berlangsung dengan lancar serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurutnya, konvensyen yang menghimpunkan sekitar 3,000 perwakilan dan ahli PBB daripada 14 cawangan di Zon Betong itu membawa tema ‘Jaga Sarawak Intu Sarawak’, sekali gus menjadi manifestasi kesepakatan parti dalam mendukung aspirasi pembangunan negeri.

Uggah berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu memperlihatkan kekuatan organisasi PBB serta kesediaan seluruh ahlinya untuk terus memainkan peranan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan Sarawak.

KONVENSYEN Khas PBB Zon Betong yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, semalam. Foto: ADUN Bukit Saban

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh jawatankuasa, petugas, sukarelawan dan semua yang telah menyumbangkan tenaga, masa serta dedikasi sepanjang penganjuran konvensyen ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama yang membuktikan kekuatan PBB sebagai sebuah parti yang sentiasa bersatu dalam melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kesudian menyempurnakan perasmian konvensyen tersebut.

Menurutnya, amanat yang disampaikan Premier Sarawak itu menjadi panduan penting kepada seluruh ahli parti dalam memperkukuhkan perjuangan serta meneruskan agenda pembangunan yang mengutamakan kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

Uggah berkata, mesej yang dibawa menerusi konvensyen berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan di semua peringkat agar segala dasar dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Beliau berharap iltizam yang diperkukuhkan sepanjang konvensyen itu akan menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih tersusun, sekali gus memperkasakan jentera parti dalam menghadapi cabaran semasa.

Katanya, setiap ahli perlu terus mengamalkan nilai integriti, semangat perpaduan dan budaya kerja berpasukan bagi memastikan parti kekal relevan serta diyakini rakyat.

“Semoga kesepakatan yang diperkukuh menerusi konvensyen ini menjadi dorongan untuk kita terus menggalas amanah dengan penuh integriti, memperkukuh organisasi parti dan berkhidmat dengan sebaik-baiknya demi kemajuan Sarawak serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Oleh Adi Safarman