BETONG: Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa seluruh ahli parti terus berdiri teguh mempertahankan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak Sarawak diteruskan.
Beliau berkata, pencapaian yang dikecapi Sarawak hari ini membuktikan kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar retorik politik, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik serta dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong hari ini, Uggah turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan sehingga berlangsung dengan lancar.
Menurut beliau, konvensyen itu dimulakan dengan pembentangan mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang disifatkannya sebagai dua agenda penting dalam memperjuangkan hak Sarawak dan memacu kemajuan negeri.
Beliau berkata, pelbagai projek mega yang telah dilaksanakan di Zon Betong menjadi bukti komitmen kerajaan di bawah pimpinan Abang Johari, antaranya pembinaan Betong Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Bebuling Agro Park, Lubok Tamang Agro Park, projek benteng Laut Sebuyau, jalan ladang sepanjang 198.7 kilometer, Loji Rawatan Air Lubau serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Bebuling.
Selain itu, katanya, pembangunan rangkaian jalan raya di Ulu Layar, Ulu Paku, Pakan, Lingga dan Sebuyau serta pembinaan lapan jambatan utama termasuk Jambatan Batang Lupar 1 dan 2, Jambatan Batang Saribas 1 dan 2, Jambatan Lingga, Jambatan Sungai Paku, Jambatan Krian dan Jambatan Batang Layar turut memperlihatkan kesungguhan kerajaan membangunkan wilayah berkenaan.
“Perubahan yang berlaku di Sarawak hari ini jelas dapat dilihat menerusi peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur, kemajuan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan kecerdasan buatan selain kejayaan negeri memiliki bank sendiri, Pelabuhan Bintulu dan syarikat penerbangan AirBorneo.
“Semua pencapaian itu dicapai hasil kepimpinan berwawasan Abang Johari yang berani membuat keputusan besar demi kepentingan masa depan rakyat serta memperkukuh kedudukan Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Uggah berkata PBB Zon Betong akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Abang Johari serta memastikan kemenangan GPS di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang.
“Seluruh jentera parti perlu bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, berdisiplin dan saling melengkapi, sama seperti kejayaan sesebuah pasukan bola sepak yang bergantung kepada semangat berpasukan, bukannya kehebatan individu semata-mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, Uggah mengingatkan ahli parti supaya berwaspada terhadap dakwaan pembangkang yang disifatkannya terus memainkan isu perkauman dan tanah adat bagi mengelirukan rakyat menjelang pilihan raya.
Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan GPS mengabaikan masyarakat Dayak, sebaliknya menegaskan Abang Johari merupakan pemimpin kepada semua kaum dan agama selaras dengan prinsip keterangkuman sosial yang menjadi teras PCDS 2030.
Katanya, komitmen itu dibuktikan melalui penubuhan 10 agensi pembangunan wilayah dengan peruntukan RM1.5 bilion bagi setiap agensi, termasuk Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), selain penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Beliau turut menjelaskan kerajaan negeri membantu pelbagai pertubuhan masyarakat Dayak mendapatkan tapak pembinaan bangunan di Kuching dan Miri serta memastikan peluang pembangunan dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Mengenai isu tanah adat, Uggah berkata kerajaan GPS mengambil langkah berani meminda Kanun Tanah Sarawak bagi memberi pengiktirafan undang-undang kepada kawasan Pemakai Menoa dan Pulau Galau melalui Seksyen 6A, sekali gus memperkukuh hak pemilikan masyarakat pribumi.
“Kerajaan juga menanggung kos pengukuran tanah adat secara percuma, dengan lebih 1.24 juta hektar tanah telah disukat dan 967,743 hektar diwartakan di bawah Seksyen 6 sehingga tahun ini, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR),” katanya.
Uggah menegaskan perjuangan PBB masih belum selesai kerana masih banyak agenda pembangunan dan usaha mempertahankan hak Sarawak perlu diteruskan demi generasi akan datang, selain menyeru seluruh ahli memperkukuh perpaduan, melahirkan pelapis berkualiti dan terus menjadi tonggak kekuatan GPS.
Beliau kemudian mengajak semua ketua cawangan dan ahli PBB yang hadir bangkit berdiri bersama-sama melafazkan ikrar untuk memperkukuh muafakat serta menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg demi masa depan Sarawak.
Oleh Adi Safarman





