
BARAM: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ulu Baram menerusi laluan jalan balak.
Menurut Datuk Gerawat menerusi satu perkongsian di aplikasi WhatsApp, tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk meninjau secara langsung keadaan infrastruktur jalan sedia ada, khususnya jalan-jalan balak yang menjadi nadi utama perhubungan bagi penduduk pedalaman.
Lawatan ini penting untuk menilai keperluan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan atau penaiktarafan jalan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran mobiliti masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan bahawa lawatan tersebut dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai cabaran di peringkat akar umbi, sekali gus membantu pihak bertanggungjawab merangka pelan tindakan yang lebih berkesan bagi pembangunan kawasan tersebut.
Tambah beliau, semoga perjalanan mereka hari ini berjalan lancar dan semoga lawatan ini juga membuahkan hasil yang bermanfaat untuk kemajuan Ulu Baram dan kesejahteraan rakyatnya.
Oleh Jiku Juguong