Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Uggah cadang tubuh jawatankuasa pemikir perkasa pelajar luar bandar
  • PENDIDIKAN

Uggah cadang tubuh jawatankuasa pemikir perkasa pelajar luar bandar

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menghadiri Majlis Makan Malam PADUM di Bangunan UNIFOR di Kuching, malam tadi. Foto: DUN Bukit Saban

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menggesa Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak lain untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemikir bagi merangka strategi khusus meningkatkan prestasi pelajar luar bandar.

​Langkah proaktif ini bertujuan memastikan komuniti Dayak tidak tercicir daripada menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang mula dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau yang juga Penaung PADUM berkata, jawatankuasa itu perlu meneliti cabaran sebenar yang dihadapi pelajar di kawasan pedalaman, merangkumi aspek akademik, pendedahan kerjaya serta kesiapsiagaan memenuhi syarat kemasukan ke program pengajian di universiti milik Sarawak.

“Kita mesti mencari cara dan kaedah untuk memperbaiki prestasi pelajar luar bandar supaya mereka layak dan tidak ketinggalan menikmati manfaat FTES.

“Saya mahu hasil jawatankuasa pemikir ini dibentangkan sebagai langkah proaktif agar komuniti Dayak tidak tercicir,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam PADUM di Bangunan Unit Untuk Agama-Agama Lain Sarawak (UNIFOR) di sini, malam tadi.

Beliau menjelaskan, FTES Sarawak melibatkan pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di universiti milik Sarawak iaitu Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, i-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak, meliputi 64 kursus sejajar dengan hala tuju ekonomi baharu negeri termasuk bidang kejuruteraan, perubatan, teknikal dan kepakaran profesional.

Dalam pada itu, Uggah memuji PADUM kerana berjaya mengekalkan kesinambungan persatuan selama 12 tahun di bawah kepimpinan pengerusinya, Cooplay Ngipa Aji, termasuk kejayaan membeli sebuah lot kedai di MJC Batu Kawa sebagai pejabat persatuan.

Bagi memperkukuh operasi dan pelaksanaan program PADUM, beliau turut bersetuju membiayai dua kakitangan sepenuh masa untuk mengurus pejabat persatuan tersebut.

Mengulas peranan UNIFOR, Uggah berkata majlis makan malam itu diadakan di bangunan milik Amanah Amal Kebajikan UNIFOR Sarawak yang dibina dengan kos RM80 juta, memperlihatkan keterangkuman kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau menambah, Premier Sarawak turut meluluskan peruntukan RM120 juta kepada UNIFOR bagi pembinaan dan penyelenggaraan rumah ibadat, termasuk RM30 juta untuk menaik taraf lebih 200 sekolah mubaligh di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menerima peruntukan keseluruhan RM43.34 bilion bagi pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan 20 jambatan bernilai RM6.7 bilion, dengan lapan jambatan telah siap sepenuhnya.

Pada majlis berkenaan, Uggah turut menyampaikan sijil kepada 11 ahli seumur hidup, tujuh ahli biasa serta 26 penerima insentif PADUM melibatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Datin Amar Dato Doreen Mayang, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak yang juga Pengerusi Swinburne University of Technology Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Yang Arif Puan Amelati Parnell serta tetamu kenamaan yang lain.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Toh Puan Fauziah rasmi Majlis Graduasi dan Pelancaran Alumni SMK Taman Melati
Next: Kurikulum baharu prasekolah tumpu enam bidang utama – Fadhlina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.