
KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menegaskan usaha menjaga kualiti udara memerlukan kerjasama semua pihak kerana usaha tersebut merupakan asas kepada kesihatan rakyat dan kesejahteraan bandar.
Beliau berkata pencemaran udara bukan sahaja menjejaskan persekitaran, malah meningkatkan risiko penyakit pernafasan, masalah jantung dan kesan perubahan iklim.
“Udara bersih bukan sekadar sesuatu yang baik, ia adalah asas kehidupan sihat. Ancaman pencemaran boleh diatasi jika kita bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Alam Sekitar Sedunia 2025 bertemakan ‘Udara Bersih, Rakyat Sihat’, hari ini.
Pameran tersebut menghimpunkan pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, Universiti Teknologi Swinburneserta Trash Hero Kuching.
Menurut Dato Wee, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus memperkukuh kempen hijau melalui pengurusan sisa pepejal, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, kempen kebersihan, kawalan nyamuk serta program kesedaran rabies.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan projek perintis tiang pintar dilengkapi sensor pemantauan kualiti udara di Kuching Park dan Taman Palmarium, yang pertama seumpamanya di Sarawak.
“Apabila adanya data udara masa nyata, kita dapat memantau kualiti udara dengan lebih berkesan demi melindungi kesihatan awam,” jelasnya.
Katanya lagi, perubahan besar bermula dengan langkah kecil seperti menggunakan beg mesra alam, membawa botol sendiri, mengitar semula, menanam pokok dan memastikan haiwan peliharaan divaksin rabies.
“Apabila setiap orang memainkan peranan, perubahan kecil ini akan bergabung menjadi impak besar. Bersama-sama kita membina Kuching yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk generasi akan datang,” ujarnya.