Ubah suai enjin tanpa kebenaran, vesel nelayan ditahan Maritim Malaysia di Bintulu

Facebook
WhatsApp
SEBUAH vesel nelayan tempatan ditahan kerana disyaki melakukan pengubahsuaian enjin tanpa kebenaran di perairan Kuala Kemena, Bintulu.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang disyaki melakukan pengubahsuaian enjin tanpa kebenaran di perairan Kuala Kemena, semalam.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, vesel berkenaan ditahan sekitar 12.42 tengah hari pada kedudukan 5.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena menerusi Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 4.0.

“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu mengubah suai enjin tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LIMA kru warga Indonesia termasuk nakhoda vesel nelayan tempatan yang ditahan di perairan Kuala Kemena, Bintulu.

Vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk nakhoda sebelum diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Muhammad Suffian turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432 544.

Oleh Carolyne Utih