KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memohon kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membina sebuah lagi Desa Bina Diri (DBD) di kawasan Utara Sarawak.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembagunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi memantapkan sokongan sosial gelandangan di kawasan itu.
“Di DBD, pelbagai perkhidmatan yang disediakan didalam institusi ini seperti penjagaan, perlindungan, bimbingan dan kaunseling, kemudahan beribadat, bersukan dan beriadah serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Dengan adanya sebuah lagi DBD di kawasan utara negeri ini, kita berharap agar nasib gelandangan dapat diubah dan seterusnya dapat menjalani kehidupan yang normal sesuai dengan objektif penubuhan DBD,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja ke DBD Kuching, di sini semalam.
Mengulas lanjut, tambahnya, pengemis atau orang papa yang juga tergolong dalam komuniti gelandangan adalah satu daripada 11 isu sosial yang diberi fokus oleh kementerian terbabit melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti secara inklusif.
Isu gelandangan mampu memberi kesan kepada kesihatan awam, kebersihan bandar dan industri pelancongan.
“Bagi menangani isu gelandangan, kementerian telah menjalankan sebanyak 113 operasi menyelamat gelandangan secara bersepadu dan bersasar di antara tahun 2020 hingga Februari 2021 (83 operasi pada tahun 2020 dan 30 operasi diantara Januari dan Februari 2020) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak serta agensi-agensi yang berkaitan, iaitu Polis DiRaja Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Agensi AntiDadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.
“Daripada 113 operasi yang dijalankan sejak 2020, seramai 301 gelandangan telah diselamatkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 30 operasi yang dijalankan pada 2021, seramai 64 gelandangan telah diselamatkan.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, Bahagian Miri mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi yang diselamatkan iaitu seramai 26 orang (41 peratus), diikuti Bahagian Kuching iaitu seramai 19 orang (30 peratus) dan Bahagian Sibu iaitu seramai 7 orang (11 peratus),” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN