SETIAP kali selepas pembentangan Belanjawan, akan ada yang berpuas hati tetapi tidak kurang pula yang tidak berpuas hati sama ada negeri yang mendapat peruntukan tidak seperti diharapkan atau mana-mana organisasi yang mendapat peruntukan berkurangan.
Hakikatnya, bukan senang untuk memuaskan hati semua orang apatah lagi bila kedudukan kewangan negara yang masih mempunyai hutang banyak, antara alasan dilontarkan.
Begitu pun, agihan perlu dilihat adil dan saksama berasaskan keperluan serta kekurangan sesebuah negeri.
Contohnya, Sarawak dan Sabah sudah merdeka hampir 60 tahun tetapi masih kedengaran saban tahun, peruntukan tidak seperti diharapkan, kerana hakikatnya kemudahan infrastruktur tidak seperti keadaan di Semenanjung Malaysia, yang sudah merdeka 66 tahun. Tidak bolehkah merapatkan jurang itu dengan memberi peruntukan yang lebih banyak untuk kedua-dua negeri Borneo ini berbanding negeri lain yang ‘lebih moden’ di banyak negeri di Semenanjung?
Mungkin kenyataan ini bunyinya agak keterlaluan iaitu perlu apa lagi Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak diberi peruntukan lebih besar dari Sabah dan Sarawak, sedangkan segala kemudahan prasarana di sana sudah ‘canggih’? Semua kampung sudah boleh dilalui dengan lebuh raya, jalan raya, jalan persekutuan bukan setakat lima, 10 tahun lalu, tetapi sudah berpuluh tahun wujud?
Bukan menidak hak rakyat di negeri tertentu untuk turut menikmati hasil pembangunan, tetapi kita mahu keadilan dan kesaksamaan. Rakyat di Borneo baru hendak merasai lebuh raya, itu pun belum siap sepenuhnya. Itu baru isu lebuh raya…. internet, sekolah daif, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) yang usang, kuarters guru dan sebut apa sahaja, semuanya ada kekurangan.
Bila semua kemudahan ini ‘at par’ (sama), barulah tidak timbul isu peruntukan yang tidak adil dan saksama. Ibarat berlari 100 meter, tetapi ‘starting point’ tidak sama… ada yang bermula di garisan lebih 30 meter di hadapan? Sarawak dan Sabah yang bermula di garisan permulaan perlukan ‘booster’ (peruntukan banyak) untuk merapatkan jarak sama di garisan lebih 30 meter di hadapan. Mungkin Selangor sudah berada jauh di depan, di garisan ke-70 meter?
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata isu pembangunan terutama kemudahan asas di Sabah dan Sarawak perlu dilihat kepada saiz negeri kedua-dua negeri ini, dan bukan hanya kepada kepadatan penduduk di sesuatu kawasan dan negeri.
“Saiz Sabah dan Sarawak yang besar, namun dengan kepadatan jumlah penduduk yang rendah berbanding Semenanjung menjadi antara faktor pembangunan di kedua-dua negeri ini agak ketinggalan berbanding negeri lain kerana keutamaan peruntukan kerajaan biasanya diberikan berdasarkan kadar kependudukan di sesebuah negeri.
“Pendekatan kerajaan berbeza, biasanya pembangunan memfokuskan kepada ramainya penduduk, sebab itu sejak dahulu apabila perancangan dibuat, Sabah dan Sarawak sering kali tertinggal sebab penduduknya sikit,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Pemimpin negara silih berganti tetapi tidak adakah idea menggunakan pendekatan yang lebih holistik perancangan ekonomi dan kaedah berbeza digunakan dalam pembangunan sesebuah negeri? Pakailah ‘formula’ jarak 100 meter tadi, bagi ‘booster’ untuk sama-sama sampai ke garisan penamat. Ubahlah guna formula sama saban tahun dalam usaha merapatkan jurang perbezaan pembangunan antara Borneo dan tanah Semenanjung.
Selagi alasan negeri besar tetapi penduduk sedikit, sampai bila pembangunan boleh dicurah? Mungkin ada dalam kalangan pembaca masih ingat kenyataan seorang menteri lebih dua dekad lalu – kononnya sukar untuk membina lebuh raya di Sarawak dan Sabah kerana bilangan penduduk kurang, jumlah kereta tak banyak, hatta hasil kutipan tol tidak akan mampu untuk menampung kos bina lebuh raya.
Nasib baik kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak ketika itu, meluluskan Projek Pan Borneo, sekali gus mengakhiri penantian 50 tahun. Malah, ia tanpa tol.
Oleh itu, kepemimpinan negara perlu melihat pembangunan ini bukan sahaja dalam konteks kepadatan penduduk, sebaliknya melihat saiz dan keperluan sebab itu kemudahan asas yang mesti diberi keutamaan.
Perlu lihat, di mana kurang dan jurangnya, di mana jauh ketinggalan, segerakan atau percepatkan. Kita faham ada negeri terutama di luar bandar seperti di Kelantan, Kedah dan Pahang pun masih banyak kawasan yang belum membangun tetapi hampir semua kawasan di sana sudah ditembusi jalan raya, dan tiada lagi mengguna feri untuk menyeberangi sungai. Kemudahan asas itu sudah ‘OK’.
Di Sarawak, di sebalik pembinaan Pan Borneo, banyak lagi kawasan yang hanya boleh dilalui menggunakan feri sehinggalah pada 2025, apabila semua lapan jambatan utama siap dibina.
Kita juga akui keadaan demografi Sabah dan Sabah, bergunung ganang dengan sungai merata tempat, menyukarkan usaha membawa pembangunan dengan cepat, dan dihambat pula dengan kos tinggi untuk sebarang projek pembangunan kerana bentuk muka bumi seperti itu. Namun, ia tidak boleh lagi dijadikan alasan dalam erti kata sebenar, sebaliknya perlu ‘political will’ untuk ‘memecah alasan kolot’ yang tidak lagi relevan itu. Kalau gunung boleh ditembusi untuk laluan kereta api dan lebuh raya, mengapa tidak? Tidak ada sungai yang tidak boleh dibina jambatan.
Hanya dengan kesungguhan dan kehendak politik yang kuat, semuanya boleh menjadi kenyataan.
Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, Sarawak diperuntukan RM5.6 bilion manakala Sabah RM6.5 bilion. Ini berbanding peruntukan RM5.4 bilion untuk Sarawak dan RM6.3 bilion bagi Sabah oleh kerajaan terdahulu.
Lagi satu hal ialah mengapa saban tahun, peruntukan pembangunan untuk Sabah lebih tinggi berbanding Sarawak? Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan dan justifikasi hal ini.
Dari segi saiz, Sarawak (124,450 kilometer persegi), jauh lebih besar dari Sabah (72,500 kilometer persegi).
Apa yang diharapkan ialah Kerajaan Persekutuan melihat semula peruntukan Belanjawan 2023 supaya lebih saksama bagi merapatkan jurang antara negeri Borneo dengan Semenanjung, sejajar dengan pendekatan kerajaan Madani – Madani istilahnya keadilan.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak