
DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan rekod suhu tertinggi bagi Mei untuk hari kedua berturut-turut, apabila suhu mencecah 51.6 darjah Celsius semalam, hampir menyamai suhu tertinggi pernah direkodkan di negara itu.
“Suhu tertinggi yang dicatatkan di seluruh negara hari ini ialah 51.6 darjah Celsius di Sweihan (Al Ain) pada 1.45 petang waktu tempatan UAE (0945 GMT),” kata Pusat Meteorologi Kebangsaan dalam satu hantaran di X, hanya 0.4 darjah Celsius kurang daripada rekod haba keseluruhan di negara Teluk itu.

Pejabat meteorologi memberitahu AFP bahawa suhu tertinggi yang pernah direkodkan di UAE sejak dokumentasi bermula pada 2003 ialah 52 darjah Celsius di Pulau Al Yasat, Abu Dhabi pada 2010.
Negara gurun ini, salah satu pengeksport minyak utama dunia, terletak di salah satu kawasan paling panas di planet ini dan sangat terdedah kepada perubahan iklim.
Suhu di Sweihan yang terletak 97 km (60 batu) di barat Abu Dhabi 50.4 darjah Celsius sehari sebelumnya di ibu negara UAE melebihi rekod suhu tertinggi Mei sebelum ini iaitu 50.2 darjah Celsius yang direkodkan pada 2009, menurut pejabat meteorologi.
Kelmarin di Dubai, yang mana suhu tinggi sekitar pertengahan 40 darjah Celsius direkodkan, pemandu kenderaan mengadu penghawa dingin dalam kereta mereka sukar menahan panas yang melampau, terkejut fenomena tersebut berlaku begitu awal pada tahun ini.
Di jalanan, penduduk Dubai masih keluar dan bergerak aktif — ada yang membawa payung — dan penjual air serta gerai jus tempatan kelihatan menikmati peningkatan jumlah pelanggan.
UAE, tuan rumah perbincangan iklim COP28 pada 2023, baharu sahaja melalui April yang mencatat rekod dengan purata suhu harian tinggi sebanyak 42.6 darjah Celsius.
Saintis telah menunjukkan bahawa gelombang haba berulang adalah penanda jelas pemanasan global dan gelombang haba ini dijangka menjadi lebih kerap, lebih lama, dan lebih kuat.
Bilangan hari yang sangat panas hampir dua kali ganda di seluruh dunia dalam tiga dekad yang lalu.
Risiko akibat pemanasan global nyata kelihatan pada Jun lalu, apabila lebih 1,300 orang meninggal dunia semasa menjalankan ibadah haji tahunan di Makkah, Arab Saudi yang berdekatan, menurut kiraan rasmi — kebanyakan mereka ialah jemaah haji tanpa izin yang terdedah kepada tempoh lama di luar rumah.
Laporan tersebut, yang memfokuskan kepada enam negara termasuk UAE, mendapati bahawa rantau ini memanas hampir dua kali ganda lebih pantas daripada purata global, menjadikan bekalan makanan dan airnya “sangat terdedah” kepada perubahan iklim. – AFP