
KUCHING: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Datin Patinggi Puan Sri Dr Jane Yong Sau Kan di kediaman keluarga di Jalan Tabuan, di sini, petang tadi.
Ketibaan mereka sekitar 3.30 petang disambut oleh anak-anak mendiang, Dr Wong Chee Liang, Dr Wong Chee May dan Wong Chee Lin serta ahli keluarga terdekat.

Sejurus tiba, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir selain menyampaikan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada keluarga mendiang.
Mereka turut menzahirkan doa agar keluarga mendiang dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat penuh kesedihan atas pemergian insan tersayang.

Mendiang merupakan isteri kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai dan dikenali sebagai seorang tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan sosial di negeri ini.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat yang pernah menerima jasa dan sumbangannya sepanjang hayat.
Oleh Norman B