
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Duta Besar Hungary, Dr Sandor Sipos di Astana Negeri, hari ini.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan persahabatan antara Hungary dan Sarawak di samping meneroka peluang kerjasama yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperluas kerjasama dalam bidang kelestarian alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, inovasi teknologi serta pertukaran kepakaran dan pengetahuan.
Turut disentuh ialah hubungan sejarah yang telah lama terjalin antara Hungary dan Sarawak, termasuk inisiatif bagi menghargai sumbangan tokoh serta saintis Hungary melalui program yang dijalankan dengan kerjasama institusi tempatan.
Hadir sama Timbalan Ketua Misi Hungary, Kamilla Balla, Konsul Kehormat Hungary, Dato Damien Chua, Pegawai Khas Konsulat Kehormat Hungary, Cheering Tan serta Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli.