
BUTTERWORTH: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib menghadiri majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth dekat sini, malam ini.
Ketibaan beliau bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah disambut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Sambutan Hari Malaysia dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita (Pulau Pinang) sebaik Tun Ramli, isteri serta barisan tetamu kehormat memasuki dewan pusat konvensyen yang penuh gilang-gemilang.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, acara berkenaan menghimpunkan ribuan rakyat pelbagai latar belakang dari seluruh negara, khususnya negeri di utara bagi meraikan kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan negara.
Tun Ramli menyaksikan acara simbolik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025.
Hari Malaysia 2025 juga dimeriahkan dengan persembahan khas berdurasi 30 minit yang menggabungkan muzik dan tarian, menampilkan Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran serta artis dari Sabah dan Sarawak, Dabra Sia dan Rezza Shah.
Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-BERNAMA