
PETRA JAYA: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi menyaksikan majlis penyerahan zakat perniagaan oleh dua agensi korporat, Etiqa Takaful Berhad dan Bank Rakyat kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Majlis tersebut berlangsung di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri pagi tadi, Etiqa Takaful Berhad menyerahkan zakat berjumlah RM1.8 juta bagi 2024, dengan RM700,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad dan RM1.1 juta daripada Etiqa General Takaful Berhad.
Penyerahan zakat diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim bersama beberapa pegawai kanan.

Sementara itu, sejumlah RM1,990,410 pula disampaikan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak untuk zakat perniagaan bagi tahun yang sama.
Kedua-dua penyerahan zakat pada pagi berkenaan diterima oleh Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Timbalan Ketua Sektor Operasi TBS, Mohd Yusree Mohammad Zain.
Penyerahan zakat perniagaan terbabit mencerminkan komitmen syarikat korporat dalam menyumbang kepada pembangunan ummah melalui institusi zakat negeri.
Turut hadir Pengarah Wilayah Sarawak Etiqa Takaful Berhad, Sylvester Ng, Pengurus Cawangan Kuching Etiqa, Noraishikin Bojet, Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abang Sapuan, Pengarah Wilayah Borneo Bank Rakyat, Saini Hammade serta barisan pengurusan tertinggi kedua-dua syarikat. -JAPEN