KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, semalam berkesempatan mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa dalam program santai sempena percutian rasmi mereka di ibu negara.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, dan isteri, Datin Sri Ruziah Mohd serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, DatoSeri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Program dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai Taman Tasik Titiwangsa disampaikan oleh wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Taklimat tersebut menekankan peranan taman ini sebagai ruang rekreasi utama bagi penduduk bandar raya, selain memaparkan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang telah dilaksanakan.
Sebagai simbolik kehadiran, Wan Junaidi dan isteri menyempurnakan upacara menanam pokok Cempaka Kuning, yang melambangkan komitmen kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan penghijauan kawasan bandar.
Kemudian, rombongan turut mengadakan lawatan ringkas ke sekitar taman, termasuk meninjau kemudahan rekreasi yang disediakan.
Wan Junaidi menegaskan pentingnya taman awam seperti Taman Tasik Titiwangsa dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.
Beliau turut berharap agar usaha pemeliharaan kawasan hijau ini dapat diteruskan demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.