




KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, bersarapan pagi bersama keluarga di Tandoori Palace, Jalan Tun Jugah di sini pagi tadi.
Kehadiran Tun Pehin Sri dan Toh Puan ditemani anak-anak termasuk Sharifah Fariah, Sharifah Nong Jasima bersama suaminya, Hakeem, serta Tasneem, disambut oleh Pengurus Restoran, Saharuk Khan.
Turut sama ialah sahabat Tun Pehin Sri sekeluarga iaitu Dato Goh Leng Chua, isteri Datin Mary Goh bersama anak mereka.
Restoran Tandoori Palace merupakan restoran makanan India yang menyajikan hidangan asli India Utara.
Ia mempunyai pelbagai pilihan menu istimewa yang menyelerakan seperti Ayam Tandoori, Roti Naan, Butter Chicken Masala, Nasi Briyani, serta pilihan vegetarian seperti Aloo Gobi Masala dan Kacang Bendi Masala serta Gulab Jamun; iaitu mithai atau hidangan manisan pencuci mulut popular dari India.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan juga sempat meluangkan masa berbual-bual, beramah mesra serta merakam gambar kenangan bersama kakitangan Tandoori Palace dan pelanggan lain sebelum berangkat pulang.