KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengalu-alukan usaha kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
Katanya, beliau yakin usaha ini akan menjadikan Sarawak pengeksport makanan utama sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan petani
“Banyak inisiatif pembangunan strategik seperti ekonomi digital telah melonjakkan ekonomi Sarawak.
“Saya bangga kerana kerajaan Sarawak meneroka ekonomi baharu.
“Strategi ini mampu meningkatkan ekonomi dan hasil Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Bangunan DUN Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sarawak kerana ekonomi baru berasaskan teknologi hijau telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak dan usaha ini membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.
“Saya juga menyambut baik usaha kerajaan Sarawak meningkatkan penyelidikan dan pembangunan ke atas sumber asli Sarawak.
“Perniagaan karbon dan penyelidikan oleh Pusat Biodiversiti Sarawak telah menghasilkan sumber ekonomi baru yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak malah bakat anak-anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan.
“Syabas kepada kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana berjaya memulihkan ekonomi sejak pandemik Covid-19. Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai RM6.7 bilion telah banyak membantu rakyat yang terkesan,” katanya.
Beliau yakin melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, Sarawak akan menjadi ekonomi maju menjelang 2030.
“Sarawak juga mengamalkan ekonomi terbuka. Banyak peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti disediakan.
“Saya menyeru rakyat terutama golongan muda untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran. In penting untuk meningkat daya saing kita merebut peluang ini. la juga penting bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
“Syabas kepada kerajaan Sarawak kerana berjaya menubuhkan Sekolah Antarabangsa, Universiti dan Institusi Kemahiran. Usaha ini mampu menghasilkan modal insan Sarawak yang berkualiti khususnya kepada generasi muda,” katanya.
Beliau turut gembira kerana kerajaan Sarawak melaksanakan banyak program dan bantuan kebajikan untuk rakyat.
“Saya juga bangga program kebajikan juga dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan, syarikat dan individu. Semangat ini harus kita sentiasa pelihara.
“Syabas juga kepada kerajaan Sarawak kerana sentiasa saksama dengan semua kaum. Hak rakyat sentiasa dipelihara sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Dasar ini merupakan tonggak perpaduan dan toleransi kaum,” katanya.
Justeru, beliau turut mengajak semua kaum di Sarawak bersama-sama meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.
Oleh NUR AIN OTSMAN & SHAHRUL QAIZAT