KUCHING: Saluran TV Sarawak (TVS) sekali lagi menampilkan kelainan baharu dengan memperkenalkan program Sarawak Decides (SD) bermula awal November lalu bagi menarik minat penonton pelbagai lapisan masyarakat.
Program berkenaan akan membincangkan pelbagai isu menarik merangkumi politik, ekonomi dan sosial, sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12 pada 18 Disember nanti.
Ia juga turut menampilkan beberapa ahli-ahli psefologi dan penganalisis terkenal seperti Dr Jeniri Amir, Dato Dr. Madeline Berma, Dr Arnold Puyok dan ramai lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman berkata, TVS percaya kepada istilah ‘informasi, pendidikan dan hiburan’ dan disebabkan itu, kandungan berkaitan dengan fakta, data dan informasi disampaikan dengan cara menarik menggunakan konsep grafik 3D.
“Perbincangan berkaitan dengan pembangunan negara seharusnya tidak ‘kering’ dan membosankan. Inilah sebabnya kami menerapkan teknologi grafik seni sebagai penerangan informasi kepada penonton kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Program ini disiarkan secara LANGSUNG di TVS bermula seawal 9 pagi setiap hari yang mengandungi berita terkini, info kapsul berkenaan 82 kawasan dewan undangan negeri dan rentas langsung bersama wartawan-wartawan TVS dari seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, ia turut disiarkan setiap hari di saluran 122 Astro dan MyTV serta di pelbagai media sosial TVS seperti Facebook, Instagram, Youtube dan TikTok.