KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), berfungsi sebagai tonggak utama dalam membina tenaga kerja mahir dan berdaya tahan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata PCDS 2030 menyasarkan untuk mengubah Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“TVET adalah kriteria dalam memenuhi permintaan tenaga kerja mahir, terutamanya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju dan teknologi agro.
“Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) memberi penekanan yang besar kepada TVET sebagai pemboleh untuk mencapai sasaran ditetapkan dalam PCDS 2030, khususnya dalam pembangunan modal insan.
“Kerajaan, khususnya di Sarawak, memberikan penekanan yang ketara kepada TVET, mengiktiraf permintaan dan keperluan industri untuk tenaga kerja yang mampu bersaing dengan kemajuan teknologi pesat.
“TVET adalah pemacu utama dalam usaha kerajaan untuk membangunkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi, dan seterusnya akan mengurangkan pergantungan kita kepada buruh asing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar dan Menandatangani Nota Kerjasama (NoU) dengan Industri di Dewan Mutiara Gemilang Kolej Vokasional Kuching (KV Kuching), hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Roland Sagah berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai intervensi untuk memperluaskan peluang pendidikan dalam TVET, termasuk pelaksanaan program penajaan pendidikan yang menawarkan pinjaman pendidikan, pinjaman boleh tukar, biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan.
“Dalam hal ini, komitmen kerajaan terhadap TVET ditunjukkan melalui pembiayaan yang besar, dengan 80 peratus penyedia TVET awam, termasuk kolej vokasional, menawarkan program secara percuma. Antara 2019 dan 2022, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat diploma dan sarjana muda ditawarkan.
“Bagi menggalakkan lagi pelajar memilih TVET, kerajaan juga telah melaksanakan Program Dermasiswa TVET B40 untuk pelajar kumpulan B40 yang mengikuti pengajian TVET di institusi pengajian tinggi awam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini,” katanya sambil menambah, program ini bertujuan untuk menyediakan akses kepada pendidikan tinggi dan peluang kerjaya dalam TVET.
Pada majlis tersebut turut diadakan Pemeteraian Nota Persefahaman (NoU) dengan enam syarikat rakan strategik terdiri daripada Syarikat Bertam View Sdn Bhd (Droneskaki Sarawak); Syarikat Biomedix Solutions Sdn Bhd; Syarikat Aleeny Fashion; Syarikat Fu Dee Hong Electrical; Syarikat FH United Auto Sdn Bhd dan Syarikat Food Journal Sdn Bhd.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan TVET, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Sathi Saravana A/L Subramaniam; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Kuching, Thomas Redy dan Yang Dipertua PIBG Kolej Vokasional Kuching, Ismail Damit.
Oleh ADI SAFARMAN