
SIBU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi sesi libat urus bersama barisan pengurusan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sarawak di Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS), baru-baru ini.
Sesi yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan itu memberi tumpuan kepada hala tuju, perkembangan semasa operasi serta pengurusan institusi TVET di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Sarawak.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Setiausaha Bahagian (Modal Insan) KPT, Adzlina Ibrahim dan Penolong Unit Pembangunan Insan, Norazrin Narawi.
Ketibaan delegasi KPT disambut oleh kepimpinan POLYCC Zon Sarawak yang diketuai Pengarah Politeknik Kuching Sarawak yang juga Pengerusi POLYCC Zon Sarawak, Mohamad Nazri Ismail.
Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, Pengarah Politeknik METrO Betong Sarawak, Ts. Shirley Phillip serta Pengarah Kolej Komuniti Betong, Andrew Douglas Gudam.
Pertemuan strategik itu turut menjadi platform pertukaran pandangan antara pihak kementerian dan pengurusan institusi bagi memperkasakan kualiti modal insan serta melahirkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri semasa.
Selain membincangkan cabaran dan perkembangan institusi, sesi tersebut memberi ruang kepada pengurusan POLYCC Sarawak menyampaikan pandangan serta cadangan bagi mempertingkat keberkesanan pelaksanaan program TVET di negeri ini.
KPT berharap sesi libat urus seumpama itu dapat terus memperkukuh sinergi dan kerjasama antara kementerian dengan institusi POLYCC, sekali gus memastikan agenda pemerkasaan TVET negara dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Oleh Tarani Lanting