
LAWAS: Program Memperkasa Komuniti melalui Peningkatan Kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) disifatkan sebagai satu usaha bermakna dalam memperluas kefahaman masyarakat terhadap bidang pendidikan teknikal.
Menurut Pengarah Kampus Sarawak Skills cawangan Miri, Syuhaira Mohd Zin, program tersebut memberi impak besar kerana ia membuka ruang kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat untuk mengenali potensi dan peluang yang ditawarkan dalam bidang TVET.
“Program ini amat besar maknanya kerana ia merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan dan mendedahkan pendidikan TVET secara langsung kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti di kawasan Long Tuma dan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.


AMBIL BAHAGIAN…Sebahagian peserta yang mengambil bahagian Program Memperkasa Komuniti melalui Peningkatan Kemahiran dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET di Dewan Penghulu Lakai Balang Long Tuma, Lawas baru-baru ini.
Beliau berkata program itu juga merupakan salah satu platform untuk menyediakan peserta yang terlibat dengan asas kemahiran yang boleh dipraktikkan dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Justeru Syuhaira berharap melalui peluang yang disediakan sebegini, peserta menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menimba seberapa banyak pengalaman dan pengetahuan bagi meningkatkan potensi diri.
“Sepanjang program berlangsung, sambutan daripada peserta sangat menggalakkan. Maklum balas daripada peserta yang terlibat mengenai program ini juga cukup memberangsangkan,” ujarnya.
Katanya, secara tidak langsung membolehkan Sarawak Skills cawangan Miri menjalinkan hubungan bukan sahaja dengan masyarakat setempat malah dengan jabatan dan agensi kerajaan, ketua masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu memartabatkan bidang TVET.
Sementara itu, kata Penghulu Lawas Damit, Davis Parag Udan, kebanyakan penduduk di luar bandar secara relatifnya terdiri daripada golongan yang tidak begitu mahir dalam kemahiran teknikal.
Katanya, kebanyakan penduduk di luar bandar secara relatifnya terdiri daripada golongan yang tidak begitu mahir dalam kemahiran teknikal.
Program yang berlangsung pada 8 dan 9 Ogos di Dewan Penghulu Lakai Balang, Long Tuma, Lawas itu merupakan program berskala besar kali ketiga yang dianjurkan oleh Sarawak Skills Miri sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Program ini melibatkan penyertaan 18 kakitangan daripada Sarawak Skills Cawangan Miri, Cawangan Sarawak Agriculture Vocational Training Institute (SAVTI), dan MEITD.
Seramai 81 peserta dari Long Tuma dan kawasan sekitarnya turut menyertai program ini. Program tersebut merangkumi beberapa kursus kemahiran iaitu Kursus Asas Pendawaian Elektrik (20 peserta), Kursus Penanaman Hidroponik (20 peserta), Kursus Asas Penanaman dan Pembajaan Kelapa Sawit (20 peserta), serta Kursus Asas Arduino yang melibatkan 21 murid dari SMK Lawas.
Program ini dirancakkan lagi dengan penyerahan sumbangan lampu solar 150w daripada pihak MEITD, yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Bakat, Sharifah Zahidah Wan Hassan, kepada 21 kampung di sekitar Lawas Damit sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka dalam menjayakan program ini.
Oleh Liong Chai Ling